e-Pendidikan Islam

Subscribe:

Ads 468x60px

Tangis Dan Tawa

"Dan bahawasanya Dia-lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis."
(Surah :An-Najm : ayat 43)
Tafsiran Ringkas:
Allah lah yang menciptakan ketawa dan tangisan, serta menciptakan sebab tercetusnya. Banyak air mata telah mengalir di dunia ini. Sumbernya dari mata mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi. Mata itu kecil, namun ia tidak pernah kering, ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Sepertilah sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti? Jika air mata itu ditampung banjirlah dunia ini.

Menangis ada yang tercela dan terpuji. Ada tangisan yang sangat dicela umpamanya meratapi mayat dengan meraung dan memukul-mukul dada atau merobek-robek pakaian. Ada pula tangisan sangat-sangat dipuji dan dituntut iaitu tangisan kerana menginsafi dosa-dosa yang silam atau tangis kerana takut akan azab dan siksa Allah.

Tangisan dapat memadamkan api neraka. Rasulullah saw bersabda: Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan dikotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tidak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka."

Air mata taubat Nabi Adam a.s Beliau menangis selama 300 tahun tanpa mendongak ke langit kerana tersangat takut dan hibanya terhadap dosa yang telah ia lakukan. Dia bersujud di atas gunung dan air matanya mengalir.

Air mata yang tiada di tuntut:

1) Janganlah menangis kalau tidak tercapai cita-cita. Bukankah Tuhan yang telah menentukannya.
2. Janganlah menangis kerana cinta tidak berbalas, mungkin dia bukanlah jodoh yang telah Tuhan tetapkan.
3)Janganlah menangis jika gagal dalam peperiksaan mungkin kita kurang membuat persediaan.
4. Jangan menangis kalau wang kita hilang di jalanan sebab mungkin kita kurang bersedekah buat amalan.

Dari itu, simpanlah air mata-air mata tangisan itu semua buat bekalan untuk menginsafi di atas segala kecuaian yang telah melanda diri, segala dosa-dosa yang berupa bintik-bintik hitam yang telah mengkelamkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah S.W.T.

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah mendengar seorang sahabat Baginda yang sedang membaca Al-Quran. Apabila sampai ke ayat yang bermaksud:

"Maka apabila langit terbelah dan menjadi merah seperti kulit yang merah"(Ar-Rahman-ayat 37)
Bulu roma si pembaca itu berdiri tegak dan dia menangis tersedu-sedu sambil bertanya:"Aduh, apakah yang akan berlaku pada diriku apabila langit terbelah?Malang sungguh nasibku ini." Nabi Muhammad s.a.w. berkata kepadanya:" Tangisanmu telah menyebabkan para malaikat menangis bersama-sama."
Aqbah bin Amir berkata kepada Nabi Mubammad s.a.w.:"Tunjukkan daku jalan kearah keselamatan." Jawab Nabi Muhammad s.a.w.:"Jangan banyak bercakap dan tinggallah dirumah sambil menangis mengenangkan dosa-dosamu."
Aishah telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:"Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?"Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:"Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segala dosa-dosanya yang telah ia lakukan."

Nabi Muhammad s.a.w.:"Ada dua jenis titisan yang sangat-sangat dihargai Allah, Titisan air mata kerana takutkanNya dan titisan darah yang ditumpahkan kerana berjuang dijalanNya."
Serulah air mata itu dari persembunyiannya di balik kelopak mata agar ia menitis membasahi dan mencuci hati agar ia putih kembali dan juga semoga ia dapat melebur dosa-dosa dan moga-moga akan mendapat ampunan-Nya jua.
Gelak ketawa dilarang Islam. Menurut pandangan Islam, bergelak tertawa adalah tidak baik dan makruh hukumnya jika berlebihan. Ibn Mas'ud meriwayatkan dari Auf bin Abdullah bahawa biasanya Rasulullah S.A.W. tidak tertawa melainkan senyum simpul dan tidak suka melerek, iaitu tidak menoleh, kecuali dengan semua wajahnya.
Maka itu seseorang yang sihat akal dilarang bergelak tertawa kerana mereka banyak bergelak ketawa di dunia akan banyak menangis di akhirat. Orang yang banyak menangis di dunia mereka akan banyak tertawa di syurga. Menurut Yahya bin Muaadz Ar-razi, ada empat perkara yang menghilangkan tertawa seseorang Mukmin :
(1) Kerana memikirkan akhirat
(2) Kesibukan mencari keperluan hidup
(3) Risau memikirkan dosa
(4) Apabila tibanya musibah dan bala.
Menurut Islam, sesiapa yang meninggalkan bergelak tertawa akan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Dan siapa yang meninggalkan senda gurau diberi wibawa dan keindahan, dan siapa yang meninggalkan tertawa, maka ia berwibawa dan hebat, dan siapa yang tidak menginginkan kekayaan orang maka ia dicintai." (Hadis Sahih).

Islam juga melarang seseorang melakukan sesuatu atau berkata sesuatu untuk mentertawakan orang lain atau menyebabkan orang lain tertawa.Contohnya ialah seperti berlawak jenaka di mana seseorang akan berlagak dan mengeluarkan kalimah yang menyebabkan orang lain tertawa. Menurut riwayat dari Ibrahim Annakhari beliau berkata: "Adakalanya seseorang mengeluarkan satu kalimah untuk mentertawakan orang di sekitarnya, maka Allah S.W.T. murka padanya lalu murka Allah itu merata kepada orang-orang yang di sekitarnya, yang tertawa bersamanya. Jika seseorang yang berkata kalimah yang direda oleh Allah, maka ia mendapat rahmat dan rahmat Allah itu diperolehi juga oleh orang di sekitarnya." Seseorang yang suka berlawak, berjenaka atau berolok-olok supaya orang lain tertawa, balasannya di akhirat ialah dimasukkan ke neraka "Wail''. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Neraka wail itu buat orang yang bercakap-cakap dengan berdusta dan berolok- olok supaya menimbulkan tertawa pada orang ramai, dan neraka wail itu untuk dia." (Hadis dikeluarkan oleh Imam yang tiga: Riwayat Bahaz bin Hakim).

Dalam Hadis itu Rasulullah S.A.W. mengulang kalimah "neraka wail itu untuk dia" sebanyak dua kali, membuktikan tegas dan kuatnya amaran terhadap orang yang suka bergelak tertawa dan berjenaka. Islam memberi peringatan bahawa semakin kuat hilai dan tertawa seseorang itu, semakin hampir iblis dan syaitan sambil tertawa berbahak-bahak menari-nari untuk melalaikan dia. Maka itu kita perlu awas daripada bergelak tertawa kerana perbuatan itu mengandungi lapan bahaya :-
(1) Dicela oleh ulama dan orang yang sopan serta sempurna akal.
(2) Memberanikan orang bodoh kepada kita.
(3) Jika bodoh akan bertambah kebodohannya, jika alim akan berkurangan ilmunya kerana seorang alim yang tertawa bererti telah memuntahkan ilmunya
(4) Melupakan dosa-dosa yang lalu.
(5) Melupakan mati dan akhirat.
(6) Berani berbuat dosa kerana apabila tertawa nescaya akan membekukan hati.
(7) Menanggung dosa orang yang tertawa kerana tertawaan kita.
(8) Akan banyak menangis di akhirat.
Oleh itu marilah sama-sama kita muhasabah diri dan kembali bertaubat kepada Allah. Banyakkan menangis kerana Allah dari ketawa yang sia-sia .

Sederhana Takluki Dunia

" Hai anak Adam pakailah pakaianmu yang indah (setiap) memasuki masjid, makan dan minumlah, dan jangan berlebihan, sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berlebih-lebihan".
Surah Al-A'raf : ayat 31.
Tafsiran Ringkas :
Islam mengajarkan umatnya untuk hidup sederhana. Islam menganjurkan kesederhanaan dimulai dari hal-hal kecil berkaitan dengan kehidupan seharian kita. Cara berpakaian, makan dan minum. Ia sebagai satu latihan untuk kita bersederhana dalam perkara-perkara dan urusan-urusan yang lebih besar seperti cara berpolitik, menguruskan ekonomi dan cara beragama.

Kesederhanaan adalah sesuatu yang asas, jika diterapkan, akan berfungsi sebagai kuasa yang akan mempengaruhi diri setiap dari kita , lambat laun, akan menmimpin kita untuk mempersepadukan nilai-nilai serta asas-asas kebaikan, yang akan memperkuat hubungan kita dengan Allah, sesama manusia dan makhluk yang lain .
Kesederhanaan jika ia berdarah daging dalam diri kita akan berupaya untuk mengawal dan mengendalikan hawa nafsu serta mengelola emosi dengan baik. Mengendalikan emosi dan mengawal hawa nafsu memang bukan sekadar di bibir atau cakap-cakap kosong , tetapi memerlukan latihan dan kesungguhan dalam aplikasi sehari-hari. Paling tidak,saya dan anda tetap berusaha melatihnya seiring dengan proses hidup yang kita jalani. Mengendali hawa nafsu ini akan melahirkan kesan positif berupa kemampuan menentukan keutamaan, iaitu mendahulukan keperluan daripada keinginan. Sebagaimana anjuran Rasulullah " Sebaik-baik perkara adalah yang palin sederhana " hadis riwayat tarmizi.
Kesederhanaan yang dimaksudkan Rasulullah ialah kesederhanaan dalam bentuk apa jua pekerjaan yang kita lakukan, samada berkaitan dunia mahupun akhirat. Kita perlu mengimbangi antara tuntutan dunia dan akhirat. Umat Islam tidak sewajarnya terlalu mengejar hal-hal kedunian sehingga melupakan bekalan untuk akhirat, ataupun sebaliknya mengutamakan akhirat sehingga tidak mahu memajukan dirinya sehingga ketinggalan dalam urusan keduniaan.
Jika kita teliti dari ayat yang kita bincangkan, kita disarankan memakai pakaian yang cantik ketika beribadah kepada Allah, untuk membeli pakaian yang cantik kita perlu bekerja mencari rezeki dari sumber yang halal. Bukan hanya duduk berdoa menunggu rezeki turun dari langit. Begitu juga dengan dengan makanan, kita perlu berusaha untuk memperolehi makanan yang baik, lazat berkhasiat dan seimbang. Bukan menadah tangan mengharapkan belas kasihan orang lain. Penutup ayat itu memperingatkan kita supaya jangan berlebih-lebihan. Jika kita berpakaian jangan berlebih-lebihan sehingga datang rasa menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah atau terlalu labuh hingga menyeret tanah. Begitu juga dengan makan dan minum, makan hanya sekadarnya untuk mengalas perut untuk menguatkan kita untuk bangun beribadah.
Kesederhanaan boleh menyebabkan seseorang itu berfikir dengan matang, tenang dan memecahkan sebarang kebuntuan. Kesederhanaan juga boleh menyebabkan jiwa seseorang itu tenang justeru itulah sikap mudah hilang pertimbangan ini boleh membawa seseorang itu (ke neraka) kepada kebinasaan.Sikap melampau telah menyebabkan dunia bukan sahaja tidak aman, tetapi penuh kesengsaraan. Kerana itulah, melalui kesederhanaanlah keamanan sejagat mampu diraih dan dicipta.
Keamanan adalah nikmat yang tidak ternilai harganya setelah setiap manusia berjuang mengekang sikap dan tindakan melampau yang ada dalam hati masing-masing. Baik kesederhanaan itu dalam aspek psikologi, strategi, politik, ekonomi ataupun kemasyarakatan, sebenarnya Islam sejak kemunculan pertamanya sudah membuktikan kesederhanaan peribadi Nabi Muhammad s.a.w telah menyebabkan baginda terus dinobatkan sebagai manusia yang paling besar mempengaruhi manusia di sepanjang sejarah.
Berpesan seorang pemimpin "“Gerakan Kesederhanaan Sejagat akan menyelamatkan kita daripada tenggelam kepada kehancuran, terus berputus asa dan kehinaan. Sudah tiba masanya bagi kita mengamalkan kepemimpinan yang membawa harapan dan mengembalikan maruah serta martabat untuk semua ". Abu Burdah berkata: “Rasulullah mengutus ayahku iaitu Abu Musa dan Muaz ke Yaman, Nabi berkata: Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan bersatu padu kamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dengan mengutamakan kesederhaanaan dalam kehidupan , ada beberapa keuntungan besar yang diperolehi:
1. Selamat dari penyakit gila dunia, sombong, bakhil, riyak, ujub, mementingkan diri, pembaziran dan lain-lain penyakit mazmumah.

2. Kekayaan duniawi akan menjadi kepunyaan masyarakat sehingga setiap keperluan dan masalah orang miskin dan rakyat bawahan terbela, di samping terbangunnya tamadun Islam dengan pesat dan menyeluruh.
Kita mesti bersungguh-sungguh dalam kehidupan. Hanya bangsa yang bersungguh-sungguh sahaja yang akan berjaya dalam matlamat perjuangan mereka. Bersungguh-sungguh dalam soal-soal duniawi dan juga bersungguh-sungguh dalam soal akhirat. Bersungguh-sungguh dengan dunia, biar sesuai dengan kecilnya dunia yang akan kita tinggalkan. Dan bersungguh-sungguh-sungguh dengan akhirat biar sesuai dengan besarnya akhirat dan abadinya kita disana.
Sederhana juga bukan bermaksud mengambil jalan tengah antara dunia dan akhirat dengan mencampuraduk antara kebenaran dan kebatilan. Suatu ketika kita mendirikan solat dan ketika yang lain kita mengambil hak orang lain. Disuatu kita kita berpuasa berbuka dengan kurma dan susu di ketika yang lain kita meneguk arak dan memakan pil kuda. Di suatu ketika kita memegang sepanduk memperjuangkan Islam di ketika yang lain kita menghina dan memperlekehkan Islam. Di suatu ketika kita bernikah dan diketika yang lain kita berzina. Itulah fahaman salah mengenai kesederhanaan.
Kalau kita menyusuri perjalanan hidup Rasulullah, sejak kecil sehinggalah saat wafatnya, ternyata Baginda tidak pernah mengecapi hidup mewah. Dalam segenap sudut kehidupan Baginda, sama ada cara berpakaian, perhiasan, dalam soal makanan dan sebagainya, berada di paksi kesederhanaan. Padahal Baginda memang mampu untuk hidup bermewah. Namun keimanan yang jitu di dada Baginda justeru mengalahkan segala-galanya. Sesungguhnya sifat ini adalah pakaian peribadi orang yang beriman sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud:
“Tidakkah kalian mendengar? Tidakkah kalian mendengar? Sesungguhnya kesederhanaan itu sebahagian daripada iman!” (HR Abu Daud).
Kesimpulannya, Kesederhanaan itu memiliki erti meminimakan sesuatu dari suatu sifat yang berkelebihan . Kesederhanaan meningkatkan kualiti gaya hidup dgan berjimat, menahan diri dari kemewahan,kemegahan dan pembaziran. Kesederhanaan menahan diri kita dari bertindak melampaui batas. Dengan kesederhanaan Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia walaupun dilebalkan sebahagai " Penganas". Dengan Kesederhaan kita menakluki dunia, tanpa kesederhanaan dunia akan menakluki kita.

Bersyukur Nikmat Bertambah

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah pedih"
Surah Ibrahim : Ayat 7
Tafsiran ringkas :
Setiap detik kita menggunakan nikmat kurnian Allah, amat sedikit yang menyadarinya, apa lagi untuk mensyukuri akan kurnian itu. Kurnian Allah tidak terhitungkan “Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya."(Surah An-Nahl : 18).
Adakah kita tergolong dari golongan yang bersyukur?. Allah menjelaskan " Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur" (Surah Yusuf : 38) .Ingatlah, Allah mengurniakan nikmat kepada seluruh makhluk-Nya semata-mata untuk disyukuri, bukan untuk dikhianati. Sesungguhnya Allah pemberi nikmat sebenar yang menjanjikan tambahan nikmat kepada mereka yang bersyukur dan azab seksa amat pedih bagi mereka yang kufur.Mungkin sahaja selama ini kita menjalani kehidupan tanpa ada rasa syukur, atau rasa syukur yang amat sedikit. Manusia sering merasakan bahawa apa yang dimiliki adalah hasil usaha dan menjadi hak mutlak mereka. Kerana itu apabila sesuatu keinginan tidak dapat dicapai atau diperolehi kita mudah berasa kesal. Malah mungkin juga kecewa, lalu menyalahkan takdir dan mencari-cari kesalahan orang lain. Itu adalah akibat gersang rasa syukur dalam diri manusia.
Syukur, inilah satu perasaan yang jarang melekat di hati kita. Malah kita kerap kali lupa dan alpa. Mulai sekarang, ketahuilah bahawa sebenarnya kita adalah orang yang sangat bertuah, baik dalam pelajaran, keluarga, ekonomi, politik mahupun dalam kehidupan sehari-hari. Maka sewajarnyalah untuk kita syukuri. Masih ragu?.
Jika kita masih ada makanan untuk dikunyah dan tidur kekenyangan, pakaian cantik menutupi badan, tilam empuk untuk tidur, rumah untuk berlindung dari panas dan hujan, maka kita masih bertuah berbanding sebahagian penduduk dunia yang lain. Sebahagian mereka kebuluran dan tidak cukup makanan, pakaian yang koyak dan lusuh, tidur bertilam tanah, dan berlindung di mana sahaja kaki terhenti sama ada di bawah jambatan atau di bawah rimbunan pokok-pokok. Masih lagi kita enggan bersyukur?.
Jika kita tidak pernah mengalami kesengsaraan kerana peperangan, masih dapat mengunjungi masjid dan mengamalkan amal ibadah tanpa rasa takut diancam, dicederakan atau dibunuh. Jika kita masih dapat hadir ke sekolah, kolej atau universiti, dapat membaca akhbar, majalah dan melayari internet. Maka kita masih bertuah dari sebahagian penduduk dunia yang lain. Sebahagian mereka hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan. Sejuk dan kelaparan. Sukar beribadah secara terang-terangan. Anak-anak kecil tidak pernah kenal erti sekolah jauh sekali untuk membaca atau memegang komputer. Masih lagi kita enggan bersyukur?.
Dalam Hadis Riwayat Tirmizi menyatakan "Dua perkara apabila dimiliki oleh seseorang dia dicatat oleh Allah sebagai orang yg bersyukur dan sabar. Dalam urusan agama dia melihat kepada yang lebih tinggi lalu meniru dan mencontohinya. Dalam urusan dunia dia melihat kepada yang lebih bawah lalu bersyukur kepada Allah bahawa dia masih diberi kelebihan".
Syukur boleh diertikan sebagai rasa terima kasih atas sesuatu anugerah atau kurnian dengan rasa senang dihati, ucapan puji-pujian dan melakukan yang terbaik sebagai tanda menghargai suatu anugerah atau kurnian itu. Pemberi anugerah dan kurnian itu ialah Allah, Tuhan yang maha agung dan tiada sekutu bagi-Nya. Pemilik segala yang di langit dan dibumi dan isi di antara kedua-duanya. Syukur itu bukan hanya dengan kata-kata tetapi juga dengan perbuatan. Maka para ulama memaknakan syukur itu "perbuatan yang menuju kepada pengagungan yang memberi nikmat iaitu Allah".
Bersyukurlah hari ini:
1. Sebelum kita berkata yang tidak baik, fikirkan tentang seseorang yang tidak boleh berkata-kata sama sekali.
2.Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan, fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.
3. Sebelum kita mengeluh tidak punya apa-apa, fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta di jalanan.
4.Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk, fikirkan tentang seseorang yang berada pada tingkat yang terburuk di dalam hidupnya.
5. Sebelum kita mengeluh tentang suami atau isteri, fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Allah untuk diberikan teman hidup
6. Hari ini sebelum kita mengeluh tentang hidup, fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.
7. Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak, fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul.
8. Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor karena pembantu tidak mengerjakan tugasnya, fikirkan tentang orang-orang yang tinggal dijalanan.
9. Sebelum kita mengeluh tentang jauh perjalanan dengan memandu kereta, fikirkan tentang seseorang yang menempuh jarak yang sama dengan berjalan.
10. Dan disaat kita penat dan mengeluh tentang pekerjaan, fikirkan tentang orang yang menganggur atau orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti anda.
11. Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain, ingatlah bahawa tidak ada seorangpun yang tidak pernah melakukan kesilapan dan kesalahan.
Kufur adalah sifat yang berlawanan dengan syukur. Kufur pada bahasa ialah menutupi manakala pada istilah kufur bemaksud tidak beriman dengan Allah dan Rasul-Nya dengan mendustakannya( contoh : mengatakan solat itu tidak wajib) atau tidak mendustakan (contoh: tahu solat itu wajib tetapi tidak menunaikan tuntutan solat itu). Manakala kufur nikmat ialah tidak mengunakan nikmat yang dikurnia oleh Allah ke jalan kemaksiatan yang tidak diredhai oleh-Nya. Mata digunakan untuk melihat perkara-perkara maksiat, lidah digunakan untuk mengata dan mengumpat, tangan digunakan untuk mencuri. Maka segala cara mempergunakan nikmat anugerah dan kurnian Allah ke jalan yang salah dan batil itu dinamakan kufur.
Orang-orang yang kufur dibenci oleh Allah. Orang yang dibenci Allah, maka Allah menjanjikan balasan azab yang amat pedih.Kejayaan dan kebahagian sangat erat dengan orang yang bersyukur. Kerana Allah menjanjikan penambahan nikmat apabila kita bersyukur. Ayat ini menganjurkan kita supaya sentiasa bersyukur dengan memperbanyakkan memuji-muji Allah atau atau berkata " alhamdulilah" sebanyak-banyaknya, bahkan sampai ribuan atau jutaan kali sehari. Bukan hanya untuk memperoleh ganjaran pahala. Tetapi mengingatkan kita akan kasih sayang Allah kepada kita, dan tidak berbuat sesuatu yang dimurkai dan dibenci oleh Allah. Ingat Allah telah menjanjikan penambahan nikmat-Nya jika kita bersyukur. Tentunya ia sebagai modal untuk berjaya, tenang dan bahagia.
Ada tiga manfaat besar dari bersyukur. Kedua manfaat ini akan mengubah hidup kita jika kita mendapatkannya.
1. Pahala dari Allah. Jelas, bersyukur adalah perintah Allah, kita akan mendapatkan pahala jika kita bersyukur dengan ikhlas.
2. Menciptakan rasa tenang,bahagia dan gembira. Dengan bersyukur akan membuatkan kita lebih bahagia. Lebih tenang. Lebih gembira. Perasaan kita menjadi lebih tenteram dan segar dengan bersyukur. Fikiran kita akan berfokus pada berbagai kebaikan yang kita terima dan nikmati.
3. Kekayaan akan bertambah kerana itu janji Allah, Allah akan akan tambah nikmat-Nya kepada sesiapa yang bersyukur.
Bersyukurlah sebelum terlambat, sebelum apa yang kita miliki hilang lenyap. Sebelum apa yang kita ada meninggalkan kita. Sebelum kita tidak punya apa-apa. Peka terhadap nikmat yang kita kecapi. Merasakan kehadirannya. Mengagungkan pemberi nikmat itu iaitu Allah. Tuhan sekalian alam. Yang Maha Pengasih dan Maha Megasihani.
Dengan bersyukur nikmat akan bertambah, rezeki akan melimpah, hidup penuh barokah. Kaya dan bahagia dengan bersyukur. Sudahkan kita bersyukur hari ini?

Doa Penghubung Dengan Allah

“Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina-dina.”
(Surah Ghafir 40: 60)
Tafsiran Ringkas :
Doa ialah meminta daripada Allah dengan penuh rasa rendah diri agar dikurniakan sesuatu kebaikan dan dijauhi dari kejahatan, fitnah, bala dan bencana. Kita berdoa bukan untuk memberitahu Allah apa yang kita hendak kerana tanpa diberitahu pun Allah sedia mengetahui segala sesuatu. Allah Maha Mengetahui segala apa yang kita zahirkan mahupun apa yang kita sembunyikan.
Jadi perlu apa lagi kita berdoa? Imam Ibn Ataillah menjawab persoalan ini dengan berkata, “…hendaknya doa permintaanmu adalah untuk menunjukkan sifat kehambaanmu dan menunaikan kewajipan terhadap kemuliaan Tuhanmu.”Berdoa sebenarnya adalah satu tugas pengabdian. Doa adalah untuk membuktikan sifat kehambaan kita di hadapan Allah s.w.t. Dengan berdoa kita mengakui kelemahan, kemiskinan, kehinaan, kejahilan dan lain-lain sifat kehambaan kita di sisi-Nya.
Sebagai hamba kita memerlukan Allah lebih daripada segala-galanya dalam hidup ini. Dan sebagai hamba kita wajib memuliakan Allah setiap masa. Inilah hakikat doa.Oleh sebab itu, sesiapa yang tidak berdoa, boleh dikira sombong terhadap Allah. Dia secara langsung seperti tidak mengakui sifat-sifat kehambaannya yang rendah, miskin, jahil dan hina itu. Dia seolah-olah berasa pandai, kaya, gagah dan mulia dan tidak memerlukan Allah lagi dalam kehidupan ini. Pada hal sebagai hamba Allah dia sebenarnya sangat rapuh untuk menjalani kehidupan di dunia yang penuh cabaran ini. Selagi kita sedar kedudukan kita sebagai hamba, maka selagi itulah kita akan terus berdoa kepada-Nya.
Inilah prinsip yang dipegang dan diamalkan oleh orang yang hampir dengan Allah. Para Rasul, nabi dan umumnya salafussoleh pada zaman dahulu ialah orang yang membudayakan doa dalam kehidupan harian, mingguan dan tahunan pada setiap fasa kehidupan mereka. Mereka sentiasa sedar bahawa mereka ialah hamba Allah dan sebagai hamba, mereka mesti selalu berhubung dengan-Nya. Dan doa adalah “medium” perhubungan itu.Doa adalah cara hidup yang menjadi tradisi orang soleh. Bermula daripada bangun tidur, membersihkan diri, masuk tandas, keluar tandas, memakai baju, melihat cermin, makan, minum, memakai kasut, menaiki kenderaan, melihat pemandangan, bersin, menguap hinggalah tidur semula…semuanya ada doanya yang khusus. Malah, untuk melakukan hubungan suami isteri pun, mesti dimulakan dengan doa.Itulah uniknya Islam berbanding dengan agama-agama yang lain. Ajaran Islam begitu kaya dengan doa. Bukan sahaja untuk melaksanakan perkara yang besar, tetapi untuk melaksanakan perkara yang dipandang remeh sekali pun, Islam mengajar kita untuk berdoa.
Allah mendidik manusia agar selalu dan sentiasa berdoa kepada-Nya. Bukan itu sahaja, malah Allah mengajar manusia tentang doa yang bagaimana seharusnya diajukan kepada-Nya. Ayat-ayat al-Quran yang berupa doa ialah bukti betapa Allah begitu menitikberatkan agar manusia berdoa kepada-Nya. Tidak syak lagi, berdoa adalah satu ciri orang yang “melalui jalan yang lurus dan diberi nikmat oleh Allah” seperti yang ditegaskan dalam surah al-Fatihah.
Mengapa begitu sekali kepentingan doa kepada manusia? Ini disebabkan beberapa faktor. Antaranya termasuk:
1. Mengekalkan Hubungan dengan Allah Setiap Masa
2. Keupayaan Melakukan Perubahan ke Arah Kebaikan Secara Berterusan
3. Didampingi oleh Malaikat dan Menghalau Syaitan
4. Membentangkan Masalah dengan Jelas dan Tuntas
5. Melahirkan Rasa Berkongsi Menghadapi Sebarang Kebuntuan
6. Mengaktifkan Diri untuk Berusaha
7. Menghindar daripada Penyakit hati, fizikal dan mental.
Ingatlah bahawa perbezaan antara orang yang berdoa dengan orang yang tidak berdoa umpama orang hidup dengan orang yang mati. Dengan berdoa kita mengaktifkan tenaga dalaman kita yang mampu menghadapi apa jua masalah dan cabaran hidup. Jangan cuba hidup bersendirian kerana hidup ini perlukan teman. Dan sebaik-baik “teman” ialah “Teman daerah tinggi” (al-rafiq al-a‘la) yang disebut berulang kali oleh Rasulullah s.a.w. menjelang wafatnya.
Jadi, berdoalah… nescaya kita tidak akan bersendirian dalam menghadapi apa jua masalah dan kebuntuan. Ada “Teman daerah tinggi” yang setia dan sentiasa mendengarnya!
Renungkan ungkapan berikut: “Doa diperkenankan bukan semasa kita meminta tetapi semasa kita berusaha!”

Jangan Hampiri Zina

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)"
(Al-Isra, :32)
Tafsiran Ringkas :
Zina ialah persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syarak (bukan pasangan suami isteri) dan kedua-duanya orang yang mukallaf, dan persetubuhan itu tidak termasuk dalam takrif (persetubuhan yang meragukan).
Ayat di atas melarang kita untuk mendekati zina. Ia bermaksud segala hal yang merupakan jalan menuju perzinaan wajib kita jauhi apa lagi zina itu sendiri tentunya lebih wajib kita jauhi. Perlu juga kita sedari bahawa segala keterbukaan dan kebebasan dalam pergaulan antara lelaki dan wanita ini pasti menimbulkan akibat yg buruk pada masyarakat kita. Suatu keburukan akan lebih cepat merebak dibanding kebaikan.
Maksud daripada amaran Allah Ta'ala "jangan hampiri zina" ini adalah ditujukan kepada segala perkara yang mendorong kepada perlakuan zina. Seperti berdua-duan, bercakap-cakap atau berhubungan dengan cara-cara yang boleh menaikkan nafsu kejahatan, berpegangan tangan atau apa saja perkataan, perbuatan, isyarat yang boleh mencetuskan perasaan kepada perbuatan zina adalah termasuk didalam amaran ini.
Rahsia mengapa Allah s.w.t menggunakan kalimah ‘janganlah engkau mendekati zina’, bukan ‘janganlah engkau berbuat zina’, telah disampaikan Syeikh As-Sa’di dalam tafsirnya.

Kata beliau: “Larangan untuk sekadar mendekati zina lebih bermakna mendalam dari melarang perbuatannya. Sebab, ia bererti meliputi larangan terhadap seluruh pendahuluan dan pencetusnya. Orang yang berada di sekitar daerah yang terlarang, dikhuatiri terjebak di dalamnya. Terutama dalam masalah ini (zina), yang didorongnya sangat besar pada sebahagian orang.”

Imam Ahmad berkata: “Aku tidak mengetahui dosa yang lebih besar daripada dosa zina setelah (dosa) membunuh nyawa manusia.”

Bagi membendung perbuatan zina, Islam amat melarang pergaulan bebas bukan mahram . Pergaulan bebas akan mendorong lelaki dan perempuan berada dalam suasana yang mencurigakan, bersembunyi dan ini dimulakan dengan khalwat. Menghias diri dengan wangian dan bersolek turut dilarang jika ia dilakukan untuk tontonan umum. Seorang wanita amat dan hanya digalakkan agar menghias diri dan bersolek semasa berada dengan suaminya, kerana bakal membangkitkan rasa ghairah dalam keadaan yang halal.
Berhias dan kelihatan anggun menawan dalam kelompok bukan mahram, akan mejerumuskan wanita dalam pelbagai masalah. Keinginan lelaki kepada wanita seksi, memukau hiasan dirinya akan menjadikan gelora semangat tidak terkawal dan mendorong perbuatan rogol atau percubaan menggoda, dan akhirnya tergodam naluri seks pula, iaini zina.
Islam menggalakkan perkahwinan kepada yang mampu, dan berpuasa kepada yang tidak mampu, dan melarang mengadakan halangan-halangan yang boleh menyekat perkahwinan seperti meletakkan mas kahwin yang terlalu tinggi. Islam menafikan ketakutan kepada kemiskinan dan kepapaan kerana mempunyai anak-anak yang ramai.

Mengikut peruntukan hukuman syarak yang disebutkan di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith yang dikuatkuasakan dalam undang-undang Qanun Jinayah Syar’iyyah bahawa orang yang melakukan perzinaan itu apabila sabit kesalahan di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, iaitu disebat sebanyak 100 kali sebat. Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bermaksud :
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”. (Surah An- Nur ayat 2)
Seseorang yang melakukan zina Muhsan (telah berkahwin), sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan keatas mereka hukuman had (rejam) iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya hingga mati. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab I’anah Al- Thalibin juzuk 2 muka surat 146 yang bermaksud :

”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina muhsan wajib dikenakan keatas mereka had (rejam), iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya sehingga mati”.

Seseorang yang melakukan zina bukan muhsan sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan ke atas mereka hukuman sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun sebagaimana terdapat di dalam kitab Kifayatul Ahyar juzuk 2 muka surat 178 yang bermaksud :

”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina bukan muhsan wajib dikenakan keatas mereka sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun”.
Dua penegasan tentang zina yang dinyatakan dalam ayat yang dibincangkan ialah :
1. Zina adalah perbuatan yang keji.

2. Zina membuka jalan kepada pelakuan buruk yang lain.
Pelakuan Zina sememangnya suatu perbuatan yang keji yang dimurkai oleh Allah dan rasul-Nya. Masyarakat akan memandang hina akan si pelakunya. Ibu bapa akan merasa begitu hina jika anak-anak mereka mengandung tanpa nikah. Adakah kita rela ibu, adik perempuan, isteri kita berzina dengan orang lain?.

Sering terjadi pelakuan seksual terhadap anak-anak remaja dan wanita dewasa yang merupakan kesan dari nafsu birahi yg terpancing dari "mukadimmah zina" yang tidak dijauhi. Betapa banyak rumah tangga yg hancur berantakan gara-gara zina yg tidak hanya mendatangkan keburukan kepada hubungan suami isteri tetapi juga anak-anak mereka. Mangsa-mangsa zina dan perkosaan akan membawa aib seumur hidup.

Keburukannya kerana zina juga berlaku atas sifat manusia yang tidak dapat mengawal nafsu. Keserakahan nafsu inilah yang menjadikan nilai kehidupan semakin tidak selamat. Apabila dikuasa oleh nafsu, manusia sangat mudah berkonflik, berbalah, dan seterusnya berperang. Telah banyak tragedi berdarah yang berlaku kerana disebabkan oleh perbuatan zina, termasuk berbunuh-bunuhan sesama manusia.
Sa’ad bin Ubadah berkata, “Seandainya aku melihat seorang laki-laki berzina dengan isteriku, maka akan aku penggal leher laki-laki itu dengan pedang”, ucapnya.
Kesan perlakuan zina, terutamanya dalam kalangan anak gadis atau wanita paling berat menanggung bahana. Apabila didapati dirinya mengandung, dia hanya mempunyai dua pilihan sama ada meneruskan kandungan tersebut atau menggugurkannya dengan pelbagai cara, sama ada menemui dukun tradisional, doktor, cuba melakukan sesuatu termasuk membunuh diri. Bagi yang merasakan kandungan itu adalah darah dagingnya, turut menghadapi persoalan dan kebimbangan, setelah kelahirannya di manakah akan disorokkan bayi itu. Akibatnya bayi dibuang atau ditinggalkan dimerata-rata tempat. Di Malaysia, kisah pembuangan bayi telah berlaku sekian lama, tetapi akhir-akhir ini ia telah menjadi semacam satu kegilaan yang paling kejam.
Kemudian Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain dari Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar,dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan demikian itu, nescaya Dia mendapat (pembalasan) dosanya, akan dilipatgandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina, kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh;maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan.Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Furqan: 68-70)

Di sini jelaslah bahawa Allah s.w.t mengandingkan perbuatan zina dengan syirik dan membunuh nyawa manusia. Dan menjadikan balasannya ialah kekal dalam siksaan yang berlipat ganda, selama seorang hamba (pelaku) tidak menghapuskan faktor penyebab seksaan tersebut dengan taubat, beriman dan berbuat amal solih.

Sunnah Allah berlaku pada makhluk-Nya, di mana jika perzinaan merajalela, maka Allah murka kepada mereka. Jika kemurkaan Allah terus berlangsung, maka ia akan menurunkan hukuman-Nya ke bumi. Abdullah bin Mas’ud, berkata, “Tidaklah muncul perzinaan di sebuah negeri, kecuali Allah mengumumkan kehancurannya".

Ujian Tanda Allah Sayang.

"Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan"
Surah Al-Anbiyaa’: ayat 35
Tafsiran Ringkas :
Ibnu Katsir dalam memberikan penerangan terhadap ayat ini menyatakan bahawa Allah menguji hambanya dengan musibah pada satu waktu, dan kemudian dengan nikmat pada waktu yang lain, untuk melihat siapa yang bersyukur dan siapa yang kufur, siapa pula yang sabar, dan siapa yang berputus harap.
Ibnu Kathir ada menukilkan kata-kata Ibnu ‘Abbas dalam menafsirkan ayat ini, bahawa Allah menguji hambanya dengan kecelakaan dan kesenangan, dengan kesihatan dan kesakitan, dengan kemewahan serta kemiskinan, dengan perkara yang halal dan apa yang haram, dengan ketaatan dan kemaksiatan, serta dengan hidayah dan kesesatan.
Berdasarkan tafsiran Ibnu ‘Abbas tersebut, dapat kita ketahui bahawa pada setiap orang, berbeza tahap ujian yang dikenakan ke atasnya. Ini adalah selari dengan ayat pada surah al-Baqarah apabila Allah menyatakan : "Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya" [Al-Baqarah: ayat 233].Dari ayat tersebut dapat kita ketahui bahawa ujian yang dikenakan kepada setiap hamba, adalah bersesuaian dengan apa yang mampu ditanggungnya. Dan setiap orang pula berbeza tahap tanggungannya dan penerimaan mereka terhadap ujian serta dugaan itu.Manusia yang berhenti pada satu tahap kesusahan, akan menjadi orang yang putus asa dan bernasib malang. Dia akan memandang hidup ini dengan pandangan kosong dan hampa. Namun, orang yang beriman akan menjadi semakin optimis dan terus berjuang untuk menyelesaikan semua kesulitan itu. Seorang yang beriman meyakini bahwa setiap kesulitan itu pasti mempunyai jalan keluar, dan yang pasti kesulitan itu tidak akan deberikan Allah swt, melainkan sesuai batas kemampuan manusia itu sendiri untuk memikulnya.Manusia memang harus menanggung resiko kehidupan dunia ini.
Kita sewajarnya bersedia menghadapi kesulitan dan kepayahan, karena hidup memang diciptakan untuk itu. Akan tetapi, semua itu bertujuan baik, karena dengan kesulitan-kesulitan itulah, Allah swt meningkatkan derajat manusia itu sendiri.
Ujian yang diberikan juga adalah untuk mengukur tahap keimanan seorang hamba. Ini telah dibuktikan secara jelas berdasarkan ayat 2-3 surah al’-Ankabut :"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta".
Jelas bahawa ujian yang diberikan adalah untuk menguji keimanan seorang manusia. Jika mempunyai darjah keimanan yang tinggi, maka kita akan menerimanya dengan keredhaan. Maka padanya rahmat Allah serta keredhaan-Nya. Namun bagi manusia yang lalai serta tidak meredhai ujian yang diberikan ke atasnya. Maka dia sekadar mendapat kemurkaan daripada Allah dan kesesatan yang nyata.
Kesusahan dan kepayahan manusia selama di dunia, tidak akan pernah berhenti semenjak dalam kandungan sampai kematiannya datang. Bahkan, kematian itu sendiri adalah puncak dari kesusahan dan kepayahan hidup. Dalam kehidupan di dunia ini, setiap manusia selalu berhadapan dengan berbagai bentuk kesulitan dan kesusahan. Walaupun dapat melepaskan diri dari satu kesulitan, maka dia akan menghadapi kesulitan yang lain. Misalnya, seorang yang masih dalam bangku persekolahan merasa kesusahan dengan peperiksaan. Setelah lulus dan selesai dari bangku persekolahan, dia kembali menghadapi kesusahan untuk mendapatkan pekerjaan. Apabila memperolehi pekerjaan, muncul lagi kesusahan baru menghadapi cabaran di tempat kerja, begitulah seterusnya.Ini bererti bahawa ujian bagi manusia sebenarnya bertujuan baik bagi meningkatkan kualiti manusia itu sendiri. Bukankah dengan ujian seorang siswa akhirnya mengengam segulung ijazah?. Dan bukankah dengan ujian juga, seorang guru biasa boleh menjadi seorang pengetua cemerlang yang disegani?.
Oleh karena itu, ujian atau kesulitan bukanlah sesuatau yang wajar di takuti dan di pandang buruk. Ujian tidak boleh dihindari atau ditakuti, karena ujian itu sendiri adalah kebaikan. Akan tetapi, yang salah dan buruk adalah gagal dalam menghadapi ujian dan kesulitan itu. Semakin banyak ujian dan kesulitan yang dihadapi, akan semakin tinggilah mutu seseorang kalau dia berhasil menyelesaikannya. Bukankah ikan yang enak dagingnya, adalah ikan yang sering berenang di air deras?. Dan bukankah emas yang sering dibakar akan semakin berkilat?.
Maka bersabarlah dalam menghadapi dugaan dan ujian daripada Allah dengan mencontohi sikap para anbiya, aulia dan solihin. Dan ketahuilah, bahawa untuk setiap ujian yang diberikan oleh Allah pasti akan ada perkara yang lebih baik menanti.Allah berfirman :Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar. [ Surah Al-Baqarah: ayat 153].Kesimpulan bagi ayat yang dibincangkan iaitu ayat 35, surah Al-Anbiyaa' di atas mempunyai tiga perkara penting untuk kita menyadarinya iaitu :
  1. Allah menguji manusia dengan kesenangan untuk manusia bersyukur.
  2. Allah menguji manusia dengan kesusahan untuk manusia bersabar.
  3. Manusia akan dinilai oleh Allah dihari pembalasan kelak.
Ramai yang tewas apabila diuji dengan kemewahan, mereka mula lalai dan semakin jauh dari menginggati Allah sedangkan semasa ditimpa kesusahan mereka banyak menginggati Allah dan beribadah. Ramai juga yang tewas apabila ditimpa kesusuahan dan kesukaran mula menyalahkan Allah, menjauhkan diri dari Allah dan berbuat kerosakan terhadap orang lain, sedangkan semasa senang dia banyak bersedekah, menderma dan menolong orang yang susah. Ramai mula yang gila, hilang punca dan pedoman hidup akibat ujian demi ujian yang diberikan ke atasnya.
Maka redhalah dengan setiap ujian, bersyukur ketika dikuniakan nikmat dan kesenangan, bersabar apabila ditimpa musibah dan kesakitan, ingat kita akan menemui Allah pada suatu masa nanti. Sesungguhnya Allah sayangkan kita, ujian dan cubaan sebagai peringatan supaya kita tidak terus hanyut dalam kesesatan dan tercampak dalam lembah kehinaan.
Ujian dan dugaan menjadikan nikmat dan manisnya sebuah kehidupan...

Lalai Membawa Kehancuran

"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui batas."
Surah Al-Kahfi : ayat 28
Tafsiran Ringkas
Orang yang lalai mengancam masa depannya sendiri kerana kurang berhati-hati dalam tindakan, tidak mengindahkan tanggungjawab, asyik dengan kesenangan dunia, terpedaya dengan hawa nafsu dan mengutamakan perkara yang remeh-remeh dari perkara yang lebih utama. Lalai meletakkan diri sesorang ke arah kebinasaan. Kerana lalai, seseorang yang berilmu akan menjadi seorang yang dungu dan seperti tidak tahu apa-apa, seorang yang kaya dan terhormat boleh menjadi hina dan kedana . Seorang yang perkasa boleh menjadi lemah tidak bermaya. Keluarga yang bahagia boleh porak peranda. Seorang yang di puncak kegemilangan akan tersungkur di lembah kegagalan dan kehancuran.
Bagi mengelakkan kita termasuk dalam lembah kelalaian itu ayat di atas memberi saranan yang wajar kita mengambil berat mengenainya iaitu :
1. Mendampingi orang yang sentiasa beribadah kepada Allah.
2. Mendampingi orang yang mengharapkan keredhan Allah.
3. Menjauhi orang-orang yang tidak mengingati dan mematuhi peraturan Allah.
4. Menjauhi orang-orang yang mengikut hawa nafsu.
5. Menjauhi orang-orang yang melampaui batas.
Maka jelaslah orang-orang yang lalai itu orang yang telah di beri peluang dan waktu oleh Allah tetapi melakukan kesalahan serta tetap dengan kesalahan itu dan selesa dipimpin dan bersahabat dengan orang-orang yang zalim dan pelaku dosa, tersasar dari jalan yang lurus tanpa ada yang memimpin kembali semula ke jalan kebenaran dan sering kalah dengan runtunan hawa nafsu.
Orang yang lalai tidak mempergunakan pancaindera dengan sebaiknya seperti firman Allah dalam surah Al-A'raf : ayat 179 :"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai."
Melalui ayat tersebut orang yang lalai ialah :
1. Orang yang tidak mahu memahami ayat-ayat Allah dengan hati dan fikiran.
2. Orang yang tidak mahu melihat kebesaran dan keesaan Allah walaupun menpunyai mata.
3. Orang yang tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat walaupun mempunyai telinga.
Orang yang lalai, hatinya jauh dari mengingati Allah, bibirnya kering dari menyebut nama Allah, telinganya tersumbat dari mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu di samakan dengan binatang ternak, yang hanya perihatin untuk mengisi perutnya dan melampiaskan syahwatnya sahaja.Berkata ahli sufi "Orang yang lalai apabila datang waktu pagi dia terfikir-fikir apa yang harus dilakukannya dan orang yang berakal melakukan apa yang telah diperintah oleh Allah kepadanya".
Orang-orang yang tidak dilalaikan dengan kesenangan dunia dan hawa nafsu mempunyai ciri-ciri berikut:
Pertama, sentiasa mengingati Allah sebanyak-banyaknya, baik dalam keadaan bersendirian ataupun di dalam keramaian, dan selalu menghambakan diri kepada-Nya dalam apa jua keadaan tanpa merasa bosan dan letih.
Kedua, Jika dia terlewat melakukan ibadah rutinnya, seperti solat , tahajjud,membaca al-Quran, berzikir pagi dan petang, maka hatinya merasa bersalah dan merasa rugi atas kealpaan tersebut.
Ketiga, tidak membuang waktu dengan sia-sia, sentiasa mengisi waktu menambah ilmu, beramal ibadah, dan berzikir.
Keempat, selalu menyibukkan diri dengan Allah dalam setiap aktivitinya.
Kelima, melupakan perkara dunianya ketika mendirikan solat.
Keenam, memperbaiki niat, perkataan, dan perbuatan tanpa mencampuradukkan dengan perkara yang dilarang dan syubhah, serta bersungguh-sungguh melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan Allah.
Ketujuh, mengingati hari kematian yang semakin hampir.Setiap detik yang kita lalui adalah waktu untuk mengingat Allah, mematuhi semua perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
Inilah bukti keimanan di mana hati manusia seharusnya selalu tunduk dalam kedamaian iman.Mari kita belajar dari kemusnahan umat-umat terdahulu dan kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam akibat kelalaian ketika mereka berada di kemuncak kejayaan dan kemewahan.Firman Allah dalam Surah Al-Araf : Ayat 136"Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya".
Jika kita lalai, tunggulah detik-detik kehancuran.



Rasulullah Contoh Ikutan Terbaik

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".
Surah Al-Ahzab : Ayat 21
Tafsiran Ringkas :
Ayat di atas adalah satu ayat di dalam surah Al-Ahzab. Ahzab adalah nama bagi suatu peperangan menentang kaum musyrikin Mekah
. Peperangan ini juga dikenali sebagai Perang Khandaq yang telah berlaku pada bulan Syawal tahun 5 Hijrah bersamaan 627 Masihi. Dinamakan Perang Ahzab kerana perang ini menghimpunkan banyak suku kaum yang telah bersekutu (Ahzab) untuk menyerang orang Islam di Madinah. Dinamakan juga Perang Khandaq (parit) kerana tentera Islam telah menggali parit di sekeliling kota Madinah untuk menghalang tentera musuh dari menceroboh dan menyerang Madinah. Dengan bantuan Allah, tentera Islam telah mendapat kemenangan walaupun jumlah gabungan tentera Mekah amat besar. Perang ini ada diceritakan dalam Al-Quran di dalam Surah Al-Ahzab.
Rasulullah adalah seorang manusia seperti kita. Makan, minum, tidur, berkahwin dan mempunyai anak. Tetapi baginda adalah manusia yang sungguh hebat dan dikagumi oleh kawan atau lawan dari segi akhlaknya. Baginda adalah seorang suami, ayah, kawan, pemimpin yang memberi contoh teladan yang terbaik. Setiap gerak-geri, tingkah laku dan kata-kata baginda adalah selari dengan Al-Quran. Tiada percanggahan. Tiada pelanggaran.Mengkaji semula sejarah Perang Al-Ahzab, kita akan temui akhlak Rasulullah yang terpuji yang wajar kita contohi :

Baginda bermesyuarat untuk membincangkan strategi yang perlu dirancang apabila mengetahui satu pakatan jahat kaum musyrikin mekah untuk menyerang muslimin di Madinah. Salman Al-Farisi mencadangkan untuk membina parit. Cadangan Salman ini diterima Baginda s.a.w lalu memerintahkan menggali parit di sekeliling Madinah. ‘Khandak’ yang bermaksud ‘parit’ diambil nama sempena peristiwa menggali parit sebagai strategi peperangan di dalam peperangan ini.Kaum muslimin dibahagikan kepada kelompok-kelompok, tiap 10 orang ditugaskan menggali kubu/khandak sepanjang 40 hasta. Semua kaum muslimin berusaha menggali kawasan masing-masing penuh kesungguhan dan cermat, Rasulullah merangsang dan menyertai mereka.
Dari hadis riwayat Bukhari dari Sahl bin Saad berkaata: "Kami bersama-sama Rasulullah di dalam kubu, ada yang menggali sedang kami mengangkut tanah di atas belakang kami sambil Rasulullah bermadah".Di sini dapatlah kita gambarkan betapa mesranya suasana ketika itu, di mana kaum Muslimin bekerja keras (menggali parit) dan Rasulullah s.a.w turut serta memotong dengan kapak, menyodok tanah dengan penyodok penyodok, mengangkut tanah dengan keranjang-keranjang dan menyanyikan madah bersama-sama mereka. Di sini juga dapat kita gambarkan bagaimana hebatnya suasana mesra ini melepaskan tenaga dan semangat di dalam jiwa mereka, mencurahkan perasaan sukarela, keghairahan, keyakinan dan kebanggaan di dalam hati mereka.Itulah watak pemimpin sejati yang wajar dicontohi. Baginda "turun padang" bersama-sama dengan pengikutnya yang memperjuangkan Islam untuk merasakan kepayahan, kesusahan, kelaparan yang dihadapi. Disamping melaungkan kata-kata semangat untuk menanamkan keyakinan dan semangat yang kukuh, tidak goyah dan gentar. Mesra berada ditengah-tengah masyarakat, dan perihatin akan kepentingan dan kebajikan mereka.
Adalah nyata kepada kita kewajipan menyintai dan mengasihi Nabi Muhammad SAW berdasarkan dalil-dalil naqli dan aqli yang jelas, marilah pula kita cuba membincangkan tanda dan bukti kasih dan kecintaan seseorang terhadap baginda . Deklarasi cinta yang tidak disusuli dengan pembuktian amali tentu sahaja masih belum mencukupi untuk membentuk cinta sejati.Bukti yang paling mudah dilihat, seseorang yang benar-benar mengasihi kekasihnya, akan mengutamakan insan yang dikasihinya daripada dirinya sendiri dan kehendak peribadinya. Jika tidak mencapai tahap ini hubungan tersebut belum layak dinamakan kasih sejati yang ikhlas-murni, tetapi baru sekadar dakwaan semata-mata.
Firman Allah dalam Surah Ali-Imran : ayat 31 bermaksud :"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."Itulah pembuktian yang tertinggi, mengikut apa yang dikehendaki oleh kekasih iaitu rasulullah yang akhirnya Allah akan juga mengasihi kita dan memberikan keapunan dari dosa-dosa. Pembuktian adalah dengan cara menjunjung agama nabinya, mengamalkan sunnahnya, menurut perkataan dan perbuatannya dalam setiap keadaan, melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya. Juga dengan mengamalkan adab-adab kehidupan Rasulullah dalam segala keadaan, sama ada ketika susah atau pun senang, ketika gembira atau pun sedih. Ikatan antara 'kasih' dan 'taat' ini terlihat jelas dalam firman Allah di atas. Apa gunanya menyambut kelahiran Rasulullah setahun sekali tanpa mengamalkan sunnahnya, mengusung sepanduk dan berarak tetapi tidak pernah menghayati tulisan-tulisan yang tertulis di atas sepanduk itu. Lidah berselawat dan memuji-muji Rasululullah kemudian lantang menentang ajaran yang dibawanya.Pemimpin Islam yang terkemuka Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali tidak pernah menyambut "Maulidurrasul" dengan berarak dan memegang sepanduk sepanjang hayat. Adakah kesemuanya tidak cinta dan kasih kepada Rasulullah?
Ayat tersebut ditutup dengan ungkapan ""Wa dzakaraLlahu katsiiran" bermaksud
"serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)". Mengingat Allah atau "zikrullah" itu bukan hanya menyebut atau membasahkan bibir dengan menyebut "Allah" sahaja, ia lebih dari itu.
Maka "zikrullah" itu membawa maksud memuji dan mengagungkan Allah pada setiap masa dan keadaan dengan meresap jauh didalam hati yang paling dalam, basah bibir dengan memuji dan menyebut nama-Nya dan berusaha mendekatkan diri dengannya dengan amalan baik yang penuh merendah diri dan keikhlasan.
Menghayati dan memperjuangkan agama seiring dengan berkasih-sayang terhadap Rasulullah dirasakan begitu indah dan menyegarkan. Sebaliknya tanpa dimensi ini, menghayati agama boleh terasa gersang dan membebankan serta cenderung membentuk jiwa keagamaan yang keras dan kasar.
Ikuti jejak Rasulullah, warisi perjuangannya.

Sabar Di Medan Perjuangan

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)"
Surah Ali-Imran : Ayat 200
Tafsiran Ringkas :
Sabar dan takwa adalah kunci yang akan membuka pintu kejayaan bagi orang-orang yang beriman. Sabar adalah tetap berusaha tanpa keluh kesah, tetap berjuang dengan hati yang teguh serta berani dan tetap berharap sesuatu kebaikan akan hadir suatu masa nanti.Ayat di atas Allah menyeru kepada orang-orang yang beriman supaya :
1. Bersabar dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan.
2. Sabar ketika berjuang melawan musuh-musuh Islam.
3. Bertakwa kepada Allah.
Imam Junaid ditanya tentang sabar, maka beliau menjawab : "Meneguk kepahitan tanpa berkerut mukanya". Ibnu Qayyim al-Jauziyah dalam Madariju as-Salikin memberi maksud sabar itu adalah "menahan diri dari keluhan dan kemarahan, menahan lidah dari keluh kesah dan menahan anggota badan dari berbuat kekacauan".
Imam Ghazali dalam dalam kitab Mukashafah Al-Qulub mmenyebutkan sabar itu adalah" menahan nafsu syahwat daripada segala keinginan dunia di samping tabah atas segala kesulitan dan musibah".Tidak mudah untuk mengerjakan sesuatu yang baik, sama perbuatan baik itu dengan melakukan ibadah dan kebajikan atau menahan diri dari melakukan kejahatan atau kemungkaran atau mempertahankan maruah Islam. Di sini kesabaran seseorang diuji dan berapa ramai yang telah tewas.
Sabar itu boleh dipupuk dengan menyedari dua hakikat :
1. Dunia adalah tempat ujian dan cubaan.
2. Iman boleh bertambah dan berkurang dan perlu dibuktikan.
Dengan menyedari dua hakikat itu, kita pastinya sudah menjangkakan bahawa kehidupan yang kita lalui pasti ada cubaan dan dugaan dalam pelbagai bentuk sama rasa ketakutan, pengurangan atau kemusnahan harta benda, bencana alam, kehilangan insan tersayang, kelaparan dan kekurangan bahan makanan. Tentunya yang akan lulus ujian itu adalah orang-orang yang tinggi tahap kesabarannya.
Musuh-musuh Islam berada di mana-mana, mereka tidak pernah duduk diam, secara sembunyi atau nyata mereka akan berusaha dengan segala upaya untuk memastikan syariat Islam lenyap dari muka bumi dan orang-orang Islam tidak jauh beza dengan mereka. Kita perlu sabar dalam erti kata "kesadaran diri untuk tetap bergerak, berusaha, dan berjuang".Jangan sampai musuh-musuh Islam itu lebih sabar dan tabah dari kita, dengan perancangan yang teratur, sehingga kemenangan berada di pihak mereka. Hendaklah orang-orang mukmin itu selalu bersiap sedia dengan segala macam cara dan upaya untuk berjihad, menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang akan mengurangi kewibawaan dan kemurnian serta keagungan agama Islam.
Perlu disedari, orang mukmin bukan sahaja menentang musuh luaran bahkan mereka juga menentang musuh di dalam diri, iaitu nafsu syahwat, jadi kita perlu sabar dengan godaan dunia yang merupakan sesuatu yang palsu dan sementara. Kekayaan akan habis, kecantikan akan pudar, tenaga akan melemah. Perlu diingat sabar itu bukanlah sebagai diam, tidak membalas. Sabar itu adalah rasa syukur dengan apa yang ada, yakin mengumpul kekuatan serta kemampuan untuk mencipta harapan untuk gemilang dan menanam kesadaran diri untuk tetap bergerak, berusaha, dan berjuang tanpa rasa takut dan gentar.
Dalam ayat itu juga orang-orang mukmin dianjurkan agar benar-benar bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa di mana saja mereka berada, kerana dengan bekal takwa itulah segala sesuatu dapat dilaksanakan dengan baik, diberkati, diredhai oleh Allah SWT. Bila disebut taqwa, biasanya diterjemah sebagai takutkan Allah. Itu tidak benar. Taqwa bukan berarti takut. Taqwa pada Allah bukan berarti takutkan Allah. Takut kepada Allah hanyalah satu daripada sifat mahmudah yang terangkum dalam sifat taqwa tetapi ia bukan taqwa. Takut dalam bahasa Arab ialah khauf atau khasya.Taqwa berasal dari perkataan waqa yaqi-wiqoyah yang artinya memelihara. Di dalam Al Quran, sering Allah menyeru dengan kalimat "ittaqu" atau "yattaqi". Dimana ada tambahan huruf pada asal kalimah "waqa", ia membawa perubahan kepada makna. Di sini "ittaqullah" membawa maksud hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara/pembenteng/pelindung. Iaitu hendaklah menjadikan Allah itu sebagai pelindung. Menjadikan Allah itu kubu atau benteng. Bila sudah berada dalam perlindungan, kubu atau benteng Allah, perkara yang negatif dan berbahaya tidak akan masuk atau tembus. Menjadikan Allah itu pelindung dari kejahatan.
Adapun yang dinamakan kehidupan itu pasti di sulami dengan rasa resah, rindu, luka dan cemas. Bersabar dan bertakwalah, semoga kejayaan milik kita.

Usaha Yang Luar Biasa

" Bahkan, sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita ".
Surah Al-Baqarah: ayat 112
Tafsiran Ringkas :
Sudah tentu, kita ingin ketenangan tanpa kekhuatiran diwaktu tidur dan jaga, selalu gembira tanpa di selubungi perasaan dukacita di samping mendapat keuntungan pahala yang berlipat kali ganda. Maka ayat di atas menjadi panduan untuk mencapai matlamat tersebut, iaitu :
1. Menyerah diri kepada Allah.
2. Berusaha supaya baik amalannya.
Menyerah diri kepada Allah bermaksud, mematuhi segala perintah Allah dan menjauhi segala larangannya. Sudah tentu Allah sayang apabila kita berbuat kebajikan dan kebaikan. Orang yang benar-benar menyerah diri kepada Allah amat berjaga-jaga atau berhati-hati dalam setiap gerak geri, percakapan dan niatnya, takut tersalah, jauh sekali secara terang-terang melanggar perintah Allah. Satu kesalahan yang kecil yang di lakukan secara tidak sengaja pun, telah di rasakan memikul sebuah gunung yang tinggi dan berat, dan segara meminta ampun kepada Allah, berulang-ulang.
Berusaha supaya baik amalannya perlu memenuhi dua syarat iaitu pertama mesti ikhlas kerana Allah semata-mata dan yang kedua amalan itu hendaklah sesuatu yang benar dan selaras dengan syariat Islam. Kedua-dua itu perlu selari. Sesuatu amalan itu tidak diterima jika tidak ada keikhlasan pada, solat subuh yang didirikan kerana terpaksa tidak akan diberi nilai, juga kerana riak atau menunjuk-nunjuk ia tidak di terima, begitu juga seorang yang rajin melakukan ibadah tetapi tidak mengikut syariat juga tidak diterima amalannya, walau seseorang itu rajin melakukan ibadah tidak sewajarnya ia bersolat subuh dengan dengan sepuluh rakaat.
Berusaha supaya baik amalannya boleh memberi maksud kita berusaha melampaui tahap kebiasaan atau melakukan sesuatu dengan melebihi tahap yang ditetapkan. Orang berjaya ada sikap berlainan, perangai berlainan.Orang berjaya senang dikenalpasti kerana kelainan yang ditonjolkan oleh mereka kerana mereka ada sikap yang melampaui kebiasaan dan berusaha mencapai yang terbaik iaitu :
1. Sanggup bersusah payah untuk mencapai kejayaan diidamkannya.
Orang berjaya sanggup mendepani kesusahan dan perkara-perkara yang menyusahkan. Mereka tidak pernah merungut sebab mereka tahu tak ada jalan mudah untuk berjaya. Mereka sanggup bersusah payah kerana mereka sedar, kesusahan itu hanya sementara.
2. Sanggup bekerja dan beribadah lebih lama dari orang lain di sekeliling.
Orang berjaya bekerja dalam masa yang lebih lama dari orang lain, biasanya mereka bekerja lebih dari 12 jam sehari, bahkan tak mustahil mencapai 16 jam sehari sehingga mereka terpaksa mengurangkan waktu tidur supaya boleh bekerja dan beribadah lebih lama. Dia biasanya bangun lebih awal dari orang lain, tidur lebih lambat dari orang lain.
3. Tidak berhenti berusaha dan bekerja.
Orang berjaya tak akan pernah berhenti bekerja dan berusaha selagi apa yang mereka mahukan tidak tercapai. Tidak ada istilah cuti-cuti, tidak ada perkataan rehat terlalu lama dalam kamus hidup mereka.
Inilah ciri-ciri sikap yang membezakan orang yang berpotensi untuk berjaya dengan orang biasa. Mereka hanya akan berehat pada waktu tidur dan makan.Karana perbuatan itu , maka Allah menjamin pemberian pahala kepada mereka dan tidak berasa khuatir. Maka, mereka tidak merasa resah gelisah dan berdukacita terhadap apa yang bakal diterimanya, kerana mereka telah berusaha yang terbaik, melakukan lebih dari apa yang sepatutnya, bukan ala kadar sahaja.

Azam Dan Tawakal.

"Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya".
Surah Ali-Imran : Ayat 159
Tafsiran Ringkas:
Setiap manusia menaruh harapan untuk mengecapi bahagia dan mengimpikan kecemerlangan segera hadir dalam setiap detik kehidupan yang di lalui. Tiada seorangpun yang bergelar manusia itu mengingankan sesuatu yang buruk dan malang menimpa mereka. Malah kegagalan adalah sesuatu yang di minta dijauhkan.
Azam boleh diertikan sebagai kemahuan ( keinginan, cita-cita dan sebagainya ) yang sangat kuat. Berazam pula mempunyai pengertian mempunyai azam, bertujuan (dengan seungguhnya), bercita-cita kuat untuk melakukan atau mencapai sesuatu. Dalam erti kata lain, azam boleh bertindak sebagai penentu darjah kesungguhan seseorang dalam mencapai matlamat. Azam juga boleh menjadi pemangkin kepada keberanian seseorang untuk melakukan sesuatu melebihi daripada tahap biasa.Meneneliti dan sedar akan pengertian azam itu, tentu ramai setuju bahawa setiap orang memang perlu malah dituntut mempunyai azam. Namun pembentukan azam tidak semestinya hanya dibuat pada awal tahun semata-mata. Kita jangan terikat dengan masa ketika mahu membuat azam.
Orang yang berjaya tentunya akan sentiasa membina azam, tidak kira masa dan tidak hanya ketika munculnya tahun baru. Azam baru akan sentiasa dibina setiap kali azam lama dapat dicapai. Orang sebegini sentiasa berfikiran positif dan sentiasa mempunyai semangat baru dalam menempuhi kehidupannya.
Azam adalah kuasa pengerak. Ia mencetus usaha, semangat dan kerajinan seseorang untuk menjadikan sebuah impian dijelmakan dalam bentuk yang nyata. Bukan hanya wujud di alam khayalan dan hanya sekadar mimpi sahaja. Ia sesuatu yang kita kehendaki dan kita perlukan. Terlampau inginkan. Hendak sangat.
Kita perlu juga sedar dan ingat, untuk mengecapi bahagia dan jaya itu bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan semangat dan tekad yang kuat tanpa menganal erti putus asa . Semangat dan tekad yang kuat mengerakkan minda dan anggota untuk terus berusaha untuk merealisasikan impian berbekalkan keazaman yang kuat. Kejayaan terbentang luas di hadapan.Dalam ayat di atas juga, mengajak kita bertawakal. Dua ciri penting iman ialah bertawakal kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya. Inilah yang membezakan orang beriman dengan orang yang tidak beriman.
Setiap manusia boleh sahaja merancang atau merencanakan sesuatu. Begini dan begitu, mengikut kemahuan dan azam masing-masing. Banyak masa di habiskan untuk memikirkan jalan-jalan dan keperluan untuk mencapai sesuatu keinginan atau azam. Seboleh-boleh ingin digapai dan dicapai. Tetapi siapakah yang boleh memastikan setiap apa yang dirancang itu akan tercapai?.
Tawakal itu bererti berusaha bersungguh-sungguh dan sebaik yang mungkin kemudian menyerahkan segala keputusan dan urusan kepada Allah, tuhan yang berkuasa terhadap sesuatu termasuk kita yang bergelar manusia. Tiada sesuatu terlepas dari perhatian dan ketentuan-Nya. Seorang yang bergelar mukmin yakin atas kenyataan bahwa "Allah mengatur semua urusan." Ar-Ra'du:2.
Kita menyadari bahwa setiap kejadian sudah ditakdirkan sebelumnya. Itulah sebabnya kita tidak pernah menganggap suatu kejadian sebagai sesuatu yang "sial" walaupun nampaknya "menyialkan". Hal itu kerana kita meyakini bahawa setiap ciptaan Allah itu tidak ada yang sia-sia sehingga kita yakin bahwa kejadian apapun yang menimpa hidup seorang mukmin adalah ditujukan untuk kebaikan. Bahkan pada perkara yang paling buruk sekalipun, seorang mukmin hendaknya teguh dengan keazaman yang kuat dan bertawakal kepada Allah hingga Allah menukarnya menjadi suatu perkara yang baik.Konsep tawakal jangan di salah ertikan . Ia bukan membawa maksud menyerahkan segala sesuatu kepada Allah dan berhenti berbuat sesuatu dalam urusan sehari-hari. Seorang mukmin terlibat dalam setiap tingkat permasalahan dan memikul semua tanggung jawab. Jangan sekali-kali lari dari dari masalah dan tanggungjawab itu.
Bertawakal kepada Allah terletak pada kesadaran bahawa segala sesuatu berada dalam kawalan Allah dan tetap bertindak dan berusaha dengan sebaik-baiknya.Ayat di atas juga menegaskan bahawa Allah amat menyayangi orang-orang yang bertawakal. Dalam kehidupan yang serba sulit, seorang mukmin tetap berasa tenang dan damai .
Ketika membaca Al-Qur'an, kita menemukan bahawa para Rasul dan pengikutnya mengalami kejadian-kejadian yang begitu getir dan menyulitkan. Hampir setiap orang beriman difitnah, diancam, dianiaya, dihina, dan sebagiannya lagi dibunuh. Namun semua ini tidak mematahkan semangat mereka sekalipun datang badai besar dan angkatan perang terkuat, mereka tetap teguh dan kuat serta tidak pernah menyerah kalah. Mereka mampu berbuat demikian kerana menyadari bahawa segala sesuatu diciptakan oleh Allah dan percaya bahwa semua itu akan membawa kebaikan.
Orang beriman menyadari bahawa Allah selalu menyediakan bimbingan kepada mereka dan tidak membebani melebihi kemampuan seseorang memikul. Di dalam Al-Qur'an, ratusan ayat memerintahkan manusia untuk bertawakal dan mematuhi Allah.Maka berazamlah, sesungguhnya orang yang tidak mempunyai azam itu seolah-olah seseorang yang telah mati dan bertawakallah sesungguh Allah sayang dan kasih akan orang-orang yang bertawakal.
Teruskan perjuangan. Allah bersama-sama orang yang benar dan sabar.

Berhijrahlah Kerana Allah

"Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Surah An-Nisa' : Ayat 100.
Tafsiran Ringkas :
Ibnu Abbas menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan Jamrah bin Jundub yang sudah sangat tua. Dia berniat keluar dari rumahnya untuk berhijrah untuk mencari keredhaan Allah dan Rasul-Nya. Dia pun berpesan kepada keluarganya " Bantulah aku dari negeri kaum musyrik ini dan hantarkanlah aku kepada Rasulullah. Keluarganya menyanggupinya. Namun belum sampai di hadapan Rasulullah , beliau meninggal dunia di tengah perjalanan.
Hijrah pada asalnya dimengertikan sebagai perpindahan dari suatu tempat ke tempat yang lain dan dalam Islam ia merujuk kepada perpindahan Rasulullah dan para sahabat dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Manakala dalam ruang lingkup yang lebih luas hijrah mencakupi segala usaha untuk berubah dalam segala aspek ke arah yang lebih baik dari sebelumnya untuk mendapat keredhaan Allah dan memperjuangkan Islam.
Dalam ayat di atas, hijrah itu hendaklah hanya di jalan Allah dalam usaha menegakkan dan memperjuangkan Islam. Berhijrah untuk menuntut ilmu supaya keluar dari tempurung kejahilan. Berhijrah agar dapat keluar dari daerah kemiskinan.Berhijrah mengumpul kekuatan supaya panji-panji Islam berkibar megah di mana-mana jua di bumi Allah ini. Tidak kira ia di diami oleh manusia yang berwarna kulit gelap, putih atau sawo matang.
Percayalah, kita akan dapati tempat hijrah yang banyak. Bumi Allah ini amat luas. Sama ada kita melangkah ke arah utara, selatan, barat mahu pun timur kita dijanjikan rezeki yang makmur jika kita ringan tulang untuk berusaha dan rajin meneroka. Dengan usaha keras yang berkekalan pasti akhirnya kita akan mengecapi kebahagian, ketenangan dan kenikmatan hidup yang kita idam-idamkan.
Perlu diingat hijrah itu tidak bermakna jika tidak niatnya tidak berasaskan ketakwaan dan kecintaan terhadap Allah dan Rasul-Nya. Berpadukan kepada Kitab Allah. Boleh sahaja sesorang itu berhijrah untuk memperoleh harta yang banyak,meraih cinta si gadis, perempuan-perempuan untuk dikahwini, tempat tinggal yang cantik. Jika itulah niatnya dia hanya akan dapat apa yang di hajati tetapi jauh dari mendapat pahala dan keredhaan Allah.
Jangan berputus asa, walau siapapun kita, berhijrahlah. Walau kita pemikul dosa yang bergunung-gunung, muka yang terconteng arang dan badan yang penuh lumpur kerana kesalahan-kesalahan serta kesilapan silam. Berazamlah untuk berhijrah, bukankah Allah itu Maha Pengampun lagi Maha mengasihani. Mulalah langkah untuk berhijrah, sebelum semuanya sudah terlambat. Kebahagian dan kejayaan menanti kita di daerah baru.
Berhijrahlah dari hitam kepada putih, dari kotor kepada bersih, dari jahil kepada bijaksana, dari malas kepada rajin, dari kedekut kepada pemurah, dari lalai kepada ingat Allah. Kumpulkan segala kekuatan untuk berhijrah. Keluar dari daerah yang mengancam akidah kita, daerah derita, daerah sengsara, daerah jahiliah, daerah maksiat. Bukan dunia Allah ini luas!!!
Mari kita bersama berhijrah. Pindah atau berubah kepada sesuatu yang lebih baik dan menbahagiakan. Melangkahlah hari ini, masuklah ke daerah yang membolehkan kita selalu mengukir senyuman....

Sembelih Sifat Kebinatanganmu.

"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu suAdd Imagepaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya."
Surah Al-Hajj Ayat 37
Tafsiran Ringkas :
Allah tidak menginginkan sesuatu dari makhluk, samada berupa daging dan darah binatang korban mahupun hadiah.Sesungguhnya Allah Maha Kaya. Kepunyaan Allahlah segala yang ada di langit dan di bumi, juga antara keduanya. Sebaliknya makhluklah yang memerlukan pertolongan dan bantuan dari Allah.
Menyembelih binatang korban itu dihubungkan dengan sifat ikhlas dan taqwa. Keikhlasan adalah syarat sesuatu amalan diterima. Iaitu melakukan sesuatu hanya kerana Allah. Tidak kerana yang lainnya. Manakala takwa pula sifat berhati-hati dalam semua tindakan yang berkaitan hati, perbuatan dan percakapan, khuatir mendapat kemurkaan Allah.
Perbuatan menyembelih korban, dapat mempengaruhi batin manusia, iaitu hati, kerana dapat menjadikan hati menjadi gementar ketika nama Allah disebut. Mengakui kebesaran dan keagungan Allah, menyedari kekerdilan dan kelemahan diri. Korban juga menjadi lambang kerelaan diri untuk mengorbankan hidup, dan segala sesuatu yang dimiliki untuk membela kebenaran atau yang hak. Tentunya berdasarkan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah. Walau sesukar mana cabaran dan dugaan yang dihadapi dalam menegakkan kebenaran itu, hati tetap teguh dan tidak mudah goyah.
Keazaman tetap kuat untuk menegakkan kebenaran, bibir tetap tersenyum dengan kesabaran yang indah. Waktu korban yang telah ditentukan waktunya, ini bermaksud agar seluruh hati kaum Muslimin seluruh dunia berdenyut dalam waktu yang sama untuk melaksanakan satu cita-cita. Dengan demikian, ibadah korban memimpin manusia untuk mengembangkan cita-cita berkorban untuk kepentingan ummah secara keseluruhan. Tidak hanya memikirkan kepentingan peribadi.
Binatang yang dikorbankan melambangkan sifat kebinatangan dalam diri, maka dengan menyembelih binatang korban mengingatkan kepada manusia untuk menyembelih sifat kebinatangan dalam yang ada dalam diri. Biarlah sifat-sifat kotor seperti buas, tamak, rakus itu mengalir keluar dari tubuh kita sebagaimana darah yang mengalir ketika terputusnya urat marih dan halkum binatang korban.
Sembelihlah sifat kebinatangan yang ada di dalam diri kita. Jadilah Manusia yang Allah Sayang.

Ikuti Jalan Yang Lurus

" Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. (Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat".
Surah Al-Fatihah : ayat 1-7
Tafsiran Ringkas :
Suruh Al-Fatihah ini sering di baca berulang-ulang. Dalam solat mahupun di pembukaan majlis-majlis ilmu. Itupun jika solat itu didirikan atau pernah hadir ke majlis-majils berbentuk keilmuan. Kalau tidak ayat-ayat terasa tidak pernah wujud apa lagi untuk merasa tersentuh olehnya. Amat menyedihkan, walau surah ini sering dibaca berulang-ulang. Amat sedikit yang mengerti akan maksudnya. Lagi teramat sedikit pula yang cuma mengaplikasi ucapan tersebut dalam urusan sehariannya. Apa yang kita ucapkan tidak selari dengan apa yang kita praktikkan. Tersasar dari jalan yang lurus.
Janganlah kita menjadi burung kakak tua atau burung tiung dalam membaca surah Al-Fatihah. Hanya pandai menyebut tanpa mengetahui maknanya. Surah ini pendek. Hanya tujuh ayat. Tidak sukar untuk mengingat. Tidak sukar juga memahami maksud ayat jika kita ingani. Tetapi begitu ramai mengambil mudah akan kepentingan memahami dan menghayati surah pembukaan ini.
Surah ini di mulakan dengan basmallah, segala niat, tutur kata dan perlakuan hanya kerana Allah, maka kita terhindar dari melakukan sesuatu yang keji atau tersalah niat, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, untuk mendapat pujian,wang ringgit, harta kekayaan atau wanita. Dalam surah ini juga kita menyedari bahawa Allah Maha Pemurah dan Maha Mengasihani. Segala yang kita miliki adalah kurnian Allah. Nikmat Allah sememangnya tidak terhitungkan. Terlampau banyak. Maka tidak wajar kita berlaku sombong atau angkuh.
Kita juga wajib meyakini bahawa Allah itu"rab" iaitu tuhan yang mentadbir dan memelihara sekalian Alam ini. Dari pergerakan bintang-bintang, hempasan ombak, awan yang berarak hingga sekecil semut atau lalat pun Allahlah yang berkuasa ke atasnya.
Seterusnya kita perlu menyadari bahawa hidup kita ini tidak hanya berakhir di dunia ini sahaja, tetapi kita akan dibangkitkan semula untuk di perhitungkan segala amalan yang kita telah kerjakan. Baik atau buruk. Berbahagialah orang yang berat timbangan kebaikannya dan rugilah mereka yang lebih berat timbangan kejahatannya. Maka tiada keraguan lagi, melalui bukti-bukti kekuasaan Allah yang dapat kita lihat, yang dapat kita dengar dan dapat kita rasa, hanya Allahlah yang sewajar kita sembah dan tempat kita memohon pertolongan. Bukan pada matahari yang hilang apabila malam tiba. Bukan juga pada bulan yang terkadang menyembunyikan wajahnya. Bukan juga pada pokok yang akan tumbang apabila ribut melanda. Bukan juga pada kubur-kubur seseorang yang telah mati. Hanya Allahlah tempat mengadu nasib dalam apa jua keadaan. Ketika senang atau susah. Sihat atau sakit. Tua atau muda. Tanpa pertolongan Allah kita tidak punya apa-apa.
Siapa pun kita seorang doktor, jurutera, guru, peniaga,tukang kebun mahupun tukang sapu perlu mempunyai matlamat hidup iaitu untuk mengikut jejak orang-orang yang berbahagia dan cemerlang dalam hidup mereka dan diberi kenikmatan yang hakiki. Mereka itulah para rasul-rasul, nabi-nabi, syuhada dan orang-orang soleh. Kita memohon untuk tergolong dalam kelompok itu. Bukan satu lagi kelompok manusia yang Allah murkai kerana kederhakaan kepada Allah dan orang-orang yang sesat. Adakah selama ini apa yang kita niatkan, apa yang kita tuturkan dan apa yang kita lakukan selari dengan surah Al-Fatihah yang kita baca?.
Jika kita ingin ke Johor Bahru dari Kuala Lumpur tidak mungkin sampai jika kita menuju ke arah utara. Pilih jalan yang betul atau kita akan tersesat.


Monyet Sayangkan Anaknya

"Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya"
Surah Al-An'am : ayat 151
Tafsiran Ringkas
Ayat di atas mengandungi beberapa tegahan atau larangan juga suruhan. Perkara-perkara yang perlu dijauhi. Pertama, jangan menpersukutukan Allah dengan sesuatu yang lain samada dari segi sifat, zat dan af'al (perbuatan). Allah tidak disamakan dengan sesuatu. Kedua, kita disuruh berbuat baik kepada ibu bapa, insan yang banyak berjasa kepada kita. Ketiga kita di larang membunuh anak-anak kerana kepapaan atau takut papa. Keempat, kita dilarang mendekati kejahatan-kejahatan termasuk perbuatan zina apa lagi untuk melakukannya. Kerana zina itu perbuatan yang amat keji dan membawa kerosakan kepada pelakunya, keluarga dan masyarakat. Akan terlahir anak-anak tanpa ikatan yang sah. Dan perintah yang terakhir yang sebenarnya berkaitan rapat dengan perintah yang keempat tadi ialah jangan membunuh manusia kecuali yang hak. Jangan membunuh bayi-bayi yang masih kecil, jangan membunuh sesiapa sahaja kecuali yang dibolehkan oleh syarak.
Sejak akhir-akhir ini kita sering dikhabarkan memelalui pelbagai sumber samada di media masa, cakap-cakap orang yang memberitakan begitu banyak bayi yang tidak berdosa dibunuh dengan begitu kejam. Ada yang dijumpai di dalam tong sampah, ada yang ditemui terapung disungai. Ada yang didapati tidak cukup sifat kerana telah dimakan oleh binatang. Amat menyedihkan dan menyayat hati bagi manusia yang mempunyai hati dan fikiran. Begitulah realiti kehidupan kita pada hari ini apabila perbuatan zina dan perbuatan yang menjurus kepadanya berleluasa. Kita kembali mengundur kebelakang, bukan semakin maju, kembali ke zaman jahiliah. Zaman kegelapan dan tidak bertamadun.
Berdasarkan ayat di atas kita perlu menyedari beberapa perkara supaya kekejaman tersebut tidak terus berlaku :
1. Menyedari bahawa segala gerak geri kita diperhatikan oleh Allah.
2. Nama baik dan perasaan ibubapa perlu dijaga.
3. Kejahatan membawa kerosakan dan kesudahan yang buruk.
4. Menggunakan akal fikiran untuk membezakan baik dan buruk.
Kejahatan walau dilebelkan dengan apa jua nama dan panggilan ia tetap jua kejahatan yang membawa kerosakan dan dosa. Jangan terpedaya. Jangan tergoda. Jangan campakkan diri ke lembah kehinaan. Jangan tempah neraka yang bahan bakarnya jin dan manusia. Terkena percikan air yang panas pun kita telah rasa kesakitan. Sanggupkan kita di bakar?.Jangan buang anak sesuka hati kerana terlanjur atau kemiskinan. Monyet pun sayang anaknya.