e-Pendidikan Islam

Subscribe:

Ads 468x60px

Rakan Facebook

Powered by Textbook Widget

Berhijrahlah Kerana Allah

"Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Surah An-Nisa' : Ayat 100.
Tafsiran Ringkas :
Ibnu Abbas menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan Jamrah bin Jundub yang sudah sangat tua. Dia berniat keluar dari rumahnya untuk berhijrah untuk mencari keredhaan Allah dan Rasul-Nya. Dia pun berpesan kepada keluarganya " Bantulah aku dari negeri kaum musyrik ini dan hantarkanlah aku kepada Rasulullah. Keluarganya menyanggupinya. Namun belum sampai di hadapan Rasulullah , beliau meninggal dunia di tengah perjalanan.
Hijrah pada asalnya dimengertikan sebagai perpindahan dari suatu tempat ke tempat yang lain dan dalam Islam ia merujuk kepada perpindahan Rasulullah dan para sahabat dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Manakala dalam ruang lingkup yang lebih luas hijrah mencakupi segala usaha untuk berubah dalam segala aspek ke arah yang lebih baik dari sebelumnya untuk mendapat keredhaan Allah dan memperjuangkan Islam.
Dalam ayat di atas, hijrah itu hendaklah hanya di jalan Allah dalam usaha menegakkan dan memperjuangkan Islam. Berhijrah untuk menuntut ilmu supaya keluar dari tempurung kejahilan. Berhijrah agar dapat keluar dari daerah kemiskinan.Berhijrah mengumpul kekuatan supaya panji-panji Islam berkibar megah di mana-mana jua di bumi Allah ini. Tidak kira ia di diami oleh manusia yang berwarna kulit gelap, putih atau sawo matang.
Percayalah, kita akan dapati tempat hijrah yang banyak. Bumi Allah ini amat luas. Sama ada kita melangkah ke arah utara, selatan, barat mahu pun timur kita dijanjikan rezeki yang makmur jika kita ringan tulang untuk berusaha dan rajin meneroka. Dengan usaha keras yang berkekalan pasti akhirnya kita akan mengecapi kebahagian, ketenangan dan kenikmatan hidup yang kita idam-idamkan.
Perlu diingat hijrah itu tidak bermakna jika tidak niatnya tidak berasaskan ketakwaan dan kecintaan terhadap Allah dan Rasul-Nya. Berpadukan kepada Kitab Allah. Boleh sahaja sesorang itu berhijrah untuk memperoleh harta yang banyak,meraih cinta si gadis, perempuan-perempuan untuk dikahwini, tempat tinggal yang cantik. Jika itulah niatnya dia hanya akan dapat apa yang di hajati tetapi jauh dari mendapat pahala dan keredhaan Allah.
Jangan berputus asa, walau siapapun kita, berhijrahlah. Walau kita pemikul dosa yang bergunung-gunung, muka yang terconteng arang dan badan yang penuh lumpur kerana kesalahan-kesalahan serta kesilapan silam. Berazamlah untuk berhijrah, bukankah Allah itu Maha Pengampun lagi Maha mengasihani. Mulalah langkah untuk berhijrah, sebelum semuanya sudah terlambat. Kebahagian dan kejayaan menanti kita di daerah baru.
Berhijrahlah dari hitam kepada putih, dari kotor kepada bersih, dari jahil kepada bijaksana, dari malas kepada rajin, dari kedekut kepada pemurah, dari lalai kepada ingat Allah. Kumpulkan segala kekuatan untuk berhijrah. Keluar dari daerah yang mengancam akidah kita, daerah derita, daerah sengsara, daerah jahiliah, daerah maksiat. Bukan dunia Allah ini luas!!!
Mari kita bersama berhijrah. Pindah atau berubah kepada sesuatu yang lebih baik dan menbahagiakan. Melangkahlah hari ini, masuklah ke daerah yang membolehkan kita selalu mengukir senyuman....