e-Pendidikan Islam

Subscribe:

Ads 468x60px

Rakan Facebook

Powered by Textbook Widget

Ikuti Jalan Yang Lurus

" Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. (Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat".
Surah Al-Fatihah : ayat 1-7
Tafsiran Ringkas :
Suruh Al-Fatihah ini sering di baca berulang-ulang. Dalam solat mahupun di pembukaan majlis-majlis ilmu. Itupun jika solat itu didirikan atau pernah hadir ke majlis-majils berbentuk keilmuan. Kalau tidak ayat-ayat terasa tidak pernah wujud apa lagi untuk merasa tersentuh olehnya. Amat menyedihkan, walau surah ini sering dibaca berulang-ulang. Amat sedikit yang mengerti akan maksudnya. Lagi teramat sedikit pula yang cuma mengaplikasi ucapan tersebut dalam urusan sehariannya. Apa yang kita ucapkan tidak selari dengan apa yang kita praktikkan. Tersasar dari jalan yang lurus.
Janganlah kita menjadi burung kakak tua atau burung tiung dalam membaca surah Al-Fatihah. Hanya pandai menyebut tanpa mengetahui maknanya. Surah ini pendek. Hanya tujuh ayat. Tidak sukar untuk mengingat. Tidak sukar juga memahami maksud ayat jika kita ingani. Tetapi begitu ramai mengambil mudah akan kepentingan memahami dan menghayati surah pembukaan ini.
Surah ini di mulakan dengan basmallah, segala niat, tutur kata dan perlakuan hanya kerana Allah, maka kita terhindar dari melakukan sesuatu yang keji atau tersalah niat, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, untuk mendapat pujian,wang ringgit, harta kekayaan atau wanita. Dalam surah ini juga kita menyedari bahawa Allah Maha Pemurah dan Maha Mengasihani. Segala yang kita miliki adalah kurnian Allah. Nikmat Allah sememangnya tidak terhitungkan. Terlampau banyak. Maka tidak wajar kita berlaku sombong atau angkuh.
Kita juga wajib meyakini bahawa Allah itu"rab" iaitu tuhan yang mentadbir dan memelihara sekalian Alam ini. Dari pergerakan bintang-bintang, hempasan ombak, awan yang berarak hingga sekecil semut atau lalat pun Allahlah yang berkuasa ke atasnya.
Seterusnya kita perlu menyadari bahawa hidup kita ini tidak hanya berakhir di dunia ini sahaja, tetapi kita akan dibangkitkan semula untuk di perhitungkan segala amalan yang kita telah kerjakan. Baik atau buruk. Berbahagialah orang yang berat timbangan kebaikannya dan rugilah mereka yang lebih berat timbangan kejahatannya. Maka tiada keraguan lagi, melalui bukti-bukti kekuasaan Allah yang dapat kita lihat, yang dapat kita dengar dan dapat kita rasa, hanya Allahlah yang sewajar kita sembah dan tempat kita memohon pertolongan. Bukan pada matahari yang hilang apabila malam tiba. Bukan juga pada bulan yang terkadang menyembunyikan wajahnya. Bukan juga pada pokok yang akan tumbang apabila ribut melanda. Bukan juga pada kubur-kubur seseorang yang telah mati. Hanya Allahlah tempat mengadu nasib dalam apa jua keadaan. Ketika senang atau susah. Sihat atau sakit. Tua atau muda. Tanpa pertolongan Allah kita tidak punya apa-apa.
Siapa pun kita seorang doktor, jurutera, guru, peniaga,tukang kebun mahupun tukang sapu perlu mempunyai matlamat hidup iaitu untuk mengikut jejak orang-orang yang berbahagia dan cemerlang dalam hidup mereka dan diberi kenikmatan yang hakiki. Mereka itulah para rasul-rasul, nabi-nabi, syuhada dan orang-orang soleh. Kita memohon untuk tergolong dalam kelompok itu. Bukan satu lagi kelompok manusia yang Allah murkai kerana kederhakaan kepada Allah dan orang-orang yang sesat. Adakah selama ini apa yang kita niatkan, apa yang kita tuturkan dan apa yang kita lakukan selari dengan surah Al-Fatihah yang kita baca?.
Jika kita ingin ke Johor Bahru dari Kuala Lumpur tidak mungkin sampai jika kita menuju ke arah utara. Pilih jalan yang betul atau kita akan tersesat.