e-Pendidikan Islam

Subscribe:

Ads 468x60px

Rakan Facebook

Powered by Textbook Widget

Lalai Membawa Kehancuran

"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui batas."
Surah Al-Kahfi : ayat 28
Tafsiran Ringkas
Orang yang lalai mengancam masa depannya sendiri kerana kurang berhati-hati dalam tindakan, tidak mengindahkan tanggungjawab, asyik dengan kesenangan dunia, terpedaya dengan hawa nafsu dan mengutamakan perkara yang remeh-remeh dari perkara yang lebih utama. Lalai meletakkan diri sesorang ke arah kebinasaan. Kerana lalai, seseorang yang berilmu akan menjadi seorang yang dungu dan seperti tidak tahu apa-apa, seorang yang kaya dan terhormat boleh menjadi hina dan kedana . Seorang yang perkasa boleh menjadi lemah tidak bermaya. Keluarga yang bahagia boleh porak peranda. Seorang yang di puncak kegemilangan akan tersungkur di lembah kegagalan dan kehancuran.
Bagi mengelakkan kita termasuk dalam lembah kelalaian itu ayat di atas memberi saranan yang wajar kita mengambil berat mengenainya iaitu :
1. Mendampingi orang yang sentiasa beribadah kepada Allah.
2. Mendampingi orang yang mengharapkan keredhan Allah.
3. Menjauhi orang-orang yang tidak mengingati dan mematuhi peraturan Allah.
4. Menjauhi orang-orang yang mengikut hawa nafsu.
5. Menjauhi orang-orang yang melampaui batas.
Maka jelaslah orang-orang yang lalai itu orang yang telah di beri peluang dan waktu oleh Allah tetapi melakukan kesalahan serta tetap dengan kesalahan itu dan selesa dipimpin dan bersahabat dengan orang-orang yang zalim dan pelaku dosa, tersasar dari jalan yang lurus tanpa ada yang memimpin kembali semula ke jalan kebenaran dan sering kalah dengan runtunan hawa nafsu.
Orang yang lalai tidak mempergunakan pancaindera dengan sebaiknya seperti firman Allah dalam surah Al-A'raf : ayat 179 :"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai."
Melalui ayat tersebut orang yang lalai ialah :
1. Orang yang tidak mahu memahami ayat-ayat Allah dengan hati dan fikiran.
2. Orang yang tidak mahu melihat kebesaran dan keesaan Allah walaupun menpunyai mata.
3. Orang yang tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat walaupun mempunyai telinga.
Orang yang lalai, hatinya jauh dari mengingati Allah, bibirnya kering dari menyebut nama Allah, telinganya tersumbat dari mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu di samakan dengan binatang ternak, yang hanya perihatin untuk mengisi perutnya dan melampiaskan syahwatnya sahaja.Berkata ahli sufi "Orang yang lalai apabila datang waktu pagi dia terfikir-fikir apa yang harus dilakukannya dan orang yang berakal melakukan apa yang telah diperintah oleh Allah kepadanya".
Orang-orang yang tidak dilalaikan dengan kesenangan dunia dan hawa nafsu mempunyai ciri-ciri berikut:
Pertama, sentiasa mengingati Allah sebanyak-banyaknya, baik dalam keadaan bersendirian ataupun di dalam keramaian, dan selalu menghambakan diri kepada-Nya dalam apa jua keadaan tanpa merasa bosan dan letih.
Kedua, Jika dia terlewat melakukan ibadah rutinnya, seperti solat , tahajjud,membaca al-Quran, berzikir pagi dan petang, maka hatinya merasa bersalah dan merasa rugi atas kealpaan tersebut.
Ketiga, tidak membuang waktu dengan sia-sia, sentiasa mengisi waktu menambah ilmu, beramal ibadah, dan berzikir.
Keempat, selalu menyibukkan diri dengan Allah dalam setiap aktivitinya.
Kelima, melupakan perkara dunianya ketika mendirikan solat.
Keenam, memperbaiki niat, perkataan, dan perbuatan tanpa mencampuradukkan dengan perkara yang dilarang dan syubhah, serta bersungguh-sungguh melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan Allah.
Ketujuh, mengingati hari kematian yang semakin hampir.Setiap detik yang kita lalui adalah waktu untuk mengingat Allah, mematuhi semua perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
Inilah bukti keimanan di mana hati manusia seharusnya selalu tunduk dalam kedamaian iman.Mari kita belajar dari kemusnahan umat-umat terdahulu dan kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam akibat kelalaian ketika mereka berada di kemuncak kejayaan dan kemewahan.Firman Allah dalam Surah Al-Araf : Ayat 136"Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya".
Jika kita lalai, tunggulah detik-detik kehancuran.