e-Pendidikan Islam

Subscribe:

Ads 468x60px

Rakan Facebook

Powered by Textbook Widget

Sederhana Takluki Dunia

" Hai anak Adam pakailah pakaianmu yang indah (setiap) memasuki masjid, makan dan minumlah, dan jangan berlebihan, sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berlebih-lebihan".
Surah Al-A'raf : ayat 31.
Tafsiran Ringkas :
Islam mengajarkan umatnya untuk hidup sederhana. Islam menganjurkan kesederhanaan dimulai dari hal-hal kecil berkaitan dengan kehidupan seharian kita. Cara berpakaian, makan dan minum. Ia sebagai satu latihan untuk kita bersederhana dalam perkara-perkara dan urusan-urusan yang lebih besar seperti cara berpolitik, menguruskan ekonomi dan cara beragama.

Kesederhanaan adalah sesuatu yang asas, jika diterapkan, akan berfungsi sebagai kuasa yang akan mempengaruhi diri setiap dari kita , lambat laun, akan menmimpin kita untuk mempersepadukan nilai-nilai serta asas-asas kebaikan, yang akan memperkuat hubungan kita dengan Allah, sesama manusia dan makhluk yang lain .
Kesederhanaan jika ia berdarah daging dalam diri kita akan berupaya untuk mengawal dan mengendalikan hawa nafsu serta mengelola emosi dengan baik. Mengendalikan emosi dan mengawal hawa nafsu memang bukan sekadar di bibir atau cakap-cakap kosong , tetapi memerlukan latihan dan kesungguhan dalam aplikasi sehari-hari. Paling tidak,saya dan anda tetap berusaha melatihnya seiring dengan proses hidup yang kita jalani. Mengendali hawa nafsu ini akan melahirkan kesan positif berupa kemampuan menentukan keutamaan, iaitu mendahulukan keperluan daripada keinginan. Sebagaimana anjuran Rasulullah " Sebaik-baik perkara adalah yang palin sederhana " hadis riwayat tarmizi.
Kesederhanaan yang dimaksudkan Rasulullah ialah kesederhanaan dalam bentuk apa jua pekerjaan yang kita lakukan, samada berkaitan dunia mahupun akhirat. Kita perlu mengimbangi antara tuntutan dunia dan akhirat. Umat Islam tidak sewajarnya terlalu mengejar hal-hal kedunian sehingga melupakan bekalan untuk akhirat, ataupun sebaliknya mengutamakan akhirat sehingga tidak mahu memajukan dirinya sehingga ketinggalan dalam urusan keduniaan.
Jika kita teliti dari ayat yang kita bincangkan, kita disarankan memakai pakaian yang cantik ketika beribadah kepada Allah, untuk membeli pakaian yang cantik kita perlu bekerja mencari rezeki dari sumber yang halal. Bukan hanya duduk berdoa menunggu rezeki turun dari langit. Begitu juga dengan dengan makanan, kita perlu berusaha untuk memperolehi makanan yang baik, lazat berkhasiat dan seimbang. Bukan menadah tangan mengharapkan belas kasihan orang lain. Penutup ayat itu memperingatkan kita supaya jangan berlebih-lebihan. Jika kita berpakaian jangan berlebih-lebihan sehingga datang rasa menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah atau terlalu labuh hingga menyeret tanah. Begitu juga dengan makan dan minum, makan hanya sekadarnya untuk mengalas perut untuk menguatkan kita untuk bangun beribadah.
Kesederhanaan boleh menyebabkan seseorang itu berfikir dengan matang, tenang dan memecahkan sebarang kebuntuan. Kesederhanaan juga boleh menyebabkan jiwa seseorang itu tenang justeru itulah sikap mudah hilang pertimbangan ini boleh membawa seseorang itu (ke neraka) kepada kebinasaan.Sikap melampau telah menyebabkan dunia bukan sahaja tidak aman, tetapi penuh kesengsaraan. Kerana itulah, melalui kesederhanaanlah keamanan sejagat mampu diraih dan dicipta.
Keamanan adalah nikmat yang tidak ternilai harganya setelah setiap manusia berjuang mengekang sikap dan tindakan melampau yang ada dalam hati masing-masing. Baik kesederhanaan itu dalam aspek psikologi, strategi, politik, ekonomi ataupun kemasyarakatan, sebenarnya Islam sejak kemunculan pertamanya sudah membuktikan kesederhanaan peribadi Nabi Muhammad s.a.w telah menyebabkan baginda terus dinobatkan sebagai manusia yang paling besar mempengaruhi manusia di sepanjang sejarah.
Berpesan seorang pemimpin "“Gerakan Kesederhanaan Sejagat akan menyelamatkan kita daripada tenggelam kepada kehancuran, terus berputus asa dan kehinaan. Sudah tiba masanya bagi kita mengamalkan kepemimpinan yang membawa harapan dan mengembalikan maruah serta martabat untuk semua ". Abu Burdah berkata: “Rasulullah mengutus ayahku iaitu Abu Musa dan Muaz ke Yaman, Nabi berkata: Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan bersatu padu kamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dengan mengutamakan kesederhaanaan dalam kehidupan , ada beberapa keuntungan besar yang diperolehi:
1. Selamat dari penyakit gila dunia, sombong, bakhil, riyak, ujub, mementingkan diri, pembaziran dan lain-lain penyakit mazmumah.

2. Kekayaan duniawi akan menjadi kepunyaan masyarakat sehingga setiap keperluan dan masalah orang miskin dan rakyat bawahan terbela, di samping terbangunnya tamadun Islam dengan pesat dan menyeluruh.
Kita mesti bersungguh-sungguh dalam kehidupan. Hanya bangsa yang bersungguh-sungguh sahaja yang akan berjaya dalam matlamat perjuangan mereka. Bersungguh-sungguh dalam soal-soal duniawi dan juga bersungguh-sungguh dalam soal akhirat. Bersungguh-sungguh dengan dunia, biar sesuai dengan kecilnya dunia yang akan kita tinggalkan. Dan bersungguh-sungguh-sungguh dengan akhirat biar sesuai dengan besarnya akhirat dan abadinya kita disana.
Sederhana juga bukan bermaksud mengambil jalan tengah antara dunia dan akhirat dengan mencampuraduk antara kebenaran dan kebatilan. Suatu ketika kita mendirikan solat dan ketika yang lain kita mengambil hak orang lain. Disuatu kita kita berpuasa berbuka dengan kurma dan susu di ketika yang lain kita meneguk arak dan memakan pil kuda. Di suatu ketika kita memegang sepanduk memperjuangkan Islam di ketika yang lain kita menghina dan memperlekehkan Islam. Di suatu ketika kita bernikah dan diketika yang lain kita berzina. Itulah fahaman salah mengenai kesederhanaan.
Kalau kita menyusuri perjalanan hidup Rasulullah, sejak kecil sehinggalah saat wafatnya, ternyata Baginda tidak pernah mengecapi hidup mewah. Dalam segenap sudut kehidupan Baginda, sama ada cara berpakaian, perhiasan, dalam soal makanan dan sebagainya, berada di paksi kesederhanaan. Padahal Baginda memang mampu untuk hidup bermewah. Namun keimanan yang jitu di dada Baginda justeru mengalahkan segala-galanya. Sesungguhnya sifat ini adalah pakaian peribadi orang yang beriman sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud:
“Tidakkah kalian mendengar? Tidakkah kalian mendengar? Sesungguhnya kesederhanaan itu sebahagian daripada iman!” (HR Abu Daud).
Kesimpulannya, Kesederhanaan itu memiliki erti meminimakan sesuatu dari suatu sifat yang berkelebihan . Kesederhanaan meningkatkan kualiti gaya hidup dgan berjimat, menahan diri dari kemewahan,kemegahan dan pembaziran. Kesederhanaan menahan diri kita dari bertindak melampaui batas. Dengan kesederhanaan Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia walaupun dilebalkan sebahagai " Penganas". Dengan Kesederhaan kita menakluki dunia, tanpa kesederhanaan dunia akan menakluki kita.