e-Pendidikan Islam

Subscribe:

Ads 468x60px

Rakan Facebook

Powered by Textbook Widget

Rasulullah Contoh Ikutan Terbaik

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".
Surah Al-Ahzab : Ayat 21
Tafsiran Ringkas :
Ayat di atas adalah satu ayat di dalam surah Al-Ahzab. Ahzab adalah nama bagi suatu peperangan menentang kaum musyrikin Mekah
. Peperangan ini juga dikenali sebagai Perang Khandaq yang telah berlaku pada bulan Syawal tahun 5 Hijrah bersamaan 627 Masihi. Dinamakan Perang Ahzab kerana perang ini menghimpunkan banyak suku kaum yang telah bersekutu (Ahzab) untuk menyerang orang Islam di Madinah. Dinamakan juga Perang Khandaq (parit) kerana tentera Islam telah menggali parit di sekeliling kota Madinah untuk menghalang tentera musuh dari menceroboh dan menyerang Madinah. Dengan bantuan Allah, tentera Islam telah mendapat kemenangan walaupun jumlah gabungan tentera Mekah amat besar. Perang ini ada diceritakan dalam Al-Quran di dalam Surah Al-Ahzab.
Rasulullah adalah seorang manusia seperti kita. Makan, minum, tidur, berkahwin dan mempunyai anak. Tetapi baginda adalah manusia yang sungguh hebat dan dikagumi oleh kawan atau lawan dari segi akhlaknya. Baginda adalah seorang suami, ayah, kawan, pemimpin yang memberi contoh teladan yang terbaik. Setiap gerak-geri, tingkah laku dan kata-kata baginda adalah selari dengan Al-Quran. Tiada percanggahan. Tiada pelanggaran.Mengkaji semula sejarah Perang Al-Ahzab, kita akan temui akhlak Rasulullah yang terpuji yang wajar kita contohi :

Baginda bermesyuarat untuk membincangkan strategi yang perlu dirancang apabila mengetahui satu pakatan jahat kaum musyrikin mekah untuk menyerang muslimin di Madinah. Salman Al-Farisi mencadangkan untuk membina parit. Cadangan Salman ini diterima Baginda s.a.w lalu memerintahkan menggali parit di sekeliling Madinah. ‘Khandak’ yang bermaksud ‘parit’ diambil nama sempena peristiwa menggali parit sebagai strategi peperangan di dalam peperangan ini.Kaum muslimin dibahagikan kepada kelompok-kelompok, tiap 10 orang ditugaskan menggali kubu/khandak sepanjang 40 hasta. Semua kaum muslimin berusaha menggali kawasan masing-masing penuh kesungguhan dan cermat, Rasulullah merangsang dan menyertai mereka.
Dari hadis riwayat Bukhari dari Sahl bin Saad berkaata: "Kami bersama-sama Rasulullah di dalam kubu, ada yang menggali sedang kami mengangkut tanah di atas belakang kami sambil Rasulullah bermadah".Di sini dapatlah kita gambarkan betapa mesranya suasana ketika itu, di mana kaum Muslimin bekerja keras (menggali parit) dan Rasulullah s.a.w turut serta memotong dengan kapak, menyodok tanah dengan penyodok penyodok, mengangkut tanah dengan keranjang-keranjang dan menyanyikan madah bersama-sama mereka. Di sini juga dapat kita gambarkan bagaimana hebatnya suasana mesra ini melepaskan tenaga dan semangat di dalam jiwa mereka, mencurahkan perasaan sukarela, keghairahan, keyakinan dan kebanggaan di dalam hati mereka.Itulah watak pemimpin sejati yang wajar dicontohi. Baginda "turun padang" bersama-sama dengan pengikutnya yang memperjuangkan Islam untuk merasakan kepayahan, kesusahan, kelaparan yang dihadapi. Disamping melaungkan kata-kata semangat untuk menanamkan keyakinan dan semangat yang kukuh, tidak goyah dan gentar. Mesra berada ditengah-tengah masyarakat, dan perihatin akan kepentingan dan kebajikan mereka.
Adalah nyata kepada kita kewajipan menyintai dan mengasihi Nabi Muhammad SAW berdasarkan dalil-dalil naqli dan aqli yang jelas, marilah pula kita cuba membincangkan tanda dan bukti kasih dan kecintaan seseorang terhadap baginda . Deklarasi cinta yang tidak disusuli dengan pembuktian amali tentu sahaja masih belum mencukupi untuk membentuk cinta sejati.Bukti yang paling mudah dilihat, seseorang yang benar-benar mengasihi kekasihnya, akan mengutamakan insan yang dikasihinya daripada dirinya sendiri dan kehendak peribadinya. Jika tidak mencapai tahap ini hubungan tersebut belum layak dinamakan kasih sejati yang ikhlas-murni, tetapi baru sekadar dakwaan semata-mata.
Firman Allah dalam Surah Ali-Imran : ayat 31 bermaksud :"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."Itulah pembuktian yang tertinggi, mengikut apa yang dikehendaki oleh kekasih iaitu rasulullah yang akhirnya Allah akan juga mengasihi kita dan memberikan keapunan dari dosa-dosa. Pembuktian adalah dengan cara menjunjung agama nabinya, mengamalkan sunnahnya, menurut perkataan dan perbuatannya dalam setiap keadaan, melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya. Juga dengan mengamalkan adab-adab kehidupan Rasulullah dalam segala keadaan, sama ada ketika susah atau pun senang, ketika gembira atau pun sedih. Ikatan antara 'kasih' dan 'taat' ini terlihat jelas dalam firman Allah di atas. Apa gunanya menyambut kelahiran Rasulullah setahun sekali tanpa mengamalkan sunnahnya, mengusung sepanduk dan berarak tetapi tidak pernah menghayati tulisan-tulisan yang tertulis di atas sepanduk itu. Lidah berselawat dan memuji-muji Rasululullah kemudian lantang menentang ajaran yang dibawanya.Pemimpin Islam yang terkemuka Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali tidak pernah menyambut "Maulidurrasul" dengan berarak dan memegang sepanduk sepanjang hayat. Adakah kesemuanya tidak cinta dan kasih kepada Rasulullah?
Ayat tersebut ditutup dengan ungkapan ""Wa dzakaraLlahu katsiiran" bermaksud
"serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)". Mengingat Allah atau "zikrullah" itu bukan hanya menyebut atau membasahkan bibir dengan menyebut "Allah" sahaja, ia lebih dari itu.
Maka "zikrullah" itu membawa maksud memuji dan mengagungkan Allah pada setiap masa dan keadaan dengan meresap jauh didalam hati yang paling dalam, basah bibir dengan memuji dan menyebut nama-Nya dan berusaha mendekatkan diri dengannya dengan amalan baik yang penuh merendah diri dan keikhlasan.
Menghayati dan memperjuangkan agama seiring dengan berkasih-sayang terhadap Rasulullah dirasakan begitu indah dan menyegarkan. Sebaliknya tanpa dimensi ini, menghayati agama boleh terasa gersang dan membebankan serta cenderung membentuk jiwa keagamaan yang keras dan kasar.
Ikuti jejak Rasulullah, warisi perjuangannya.