e-Pendidikan Islam

Subscribe:

Ads 468x60px

Rakan Facebook

Powered by Textbook Widget

Sabar Di Medan Perjuangan

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)"
Surah Ali-Imran : Ayat 200
Tafsiran Ringkas :
Sabar dan takwa adalah kunci yang akan membuka pintu kejayaan bagi orang-orang yang beriman. Sabar adalah tetap berusaha tanpa keluh kesah, tetap berjuang dengan hati yang teguh serta berani dan tetap berharap sesuatu kebaikan akan hadir suatu masa nanti.Ayat di atas Allah menyeru kepada orang-orang yang beriman supaya :
1. Bersabar dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan.
2. Sabar ketika berjuang melawan musuh-musuh Islam.
3. Bertakwa kepada Allah.
Imam Junaid ditanya tentang sabar, maka beliau menjawab : "Meneguk kepahitan tanpa berkerut mukanya". Ibnu Qayyim al-Jauziyah dalam Madariju as-Salikin memberi maksud sabar itu adalah "menahan diri dari keluhan dan kemarahan, menahan lidah dari keluh kesah dan menahan anggota badan dari berbuat kekacauan".
Imam Ghazali dalam dalam kitab Mukashafah Al-Qulub mmenyebutkan sabar itu adalah" menahan nafsu syahwat daripada segala keinginan dunia di samping tabah atas segala kesulitan dan musibah".Tidak mudah untuk mengerjakan sesuatu yang baik, sama perbuatan baik itu dengan melakukan ibadah dan kebajikan atau menahan diri dari melakukan kejahatan atau kemungkaran atau mempertahankan maruah Islam. Di sini kesabaran seseorang diuji dan berapa ramai yang telah tewas.
Sabar itu boleh dipupuk dengan menyedari dua hakikat :
1. Dunia adalah tempat ujian dan cubaan.
2. Iman boleh bertambah dan berkurang dan perlu dibuktikan.
Dengan menyedari dua hakikat itu, kita pastinya sudah menjangkakan bahawa kehidupan yang kita lalui pasti ada cubaan dan dugaan dalam pelbagai bentuk sama rasa ketakutan, pengurangan atau kemusnahan harta benda, bencana alam, kehilangan insan tersayang, kelaparan dan kekurangan bahan makanan. Tentunya yang akan lulus ujian itu adalah orang-orang yang tinggi tahap kesabarannya.
Musuh-musuh Islam berada di mana-mana, mereka tidak pernah duduk diam, secara sembunyi atau nyata mereka akan berusaha dengan segala upaya untuk memastikan syariat Islam lenyap dari muka bumi dan orang-orang Islam tidak jauh beza dengan mereka. Kita perlu sabar dalam erti kata "kesadaran diri untuk tetap bergerak, berusaha, dan berjuang".Jangan sampai musuh-musuh Islam itu lebih sabar dan tabah dari kita, dengan perancangan yang teratur, sehingga kemenangan berada di pihak mereka. Hendaklah orang-orang mukmin itu selalu bersiap sedia dengan segala macam cara dan upaya untuk berjihad, menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang akan mengurangi kewibawaan dan kemurnian serta keagungan agama Islam.
Perlu disedari, orang mukmin bukan sahaja menentang musuh luaran bahkan mereka juga menentang musuh di dalam diri, iaitu nafsu syahwat, jadi kita perlu sabar dengan godaan dunia yang merupakan sesuatu yang palsu dan sementara. Kekayaan akan habis, kecantikan akan pudar, tenaga akan melemah. Perlu diingat sabar itu bukanlah sebagai diam, tidak membalas. Sabar itu adalah rasa syukur dengan apa yang ada, yakin mengumpul kekuatan serta kemampuan untuk mencipta harapan untuk gemilang dan menanam kesadaran diri untuk tetap bergerak, berusaha, dan berjuang tanpa rasa takut dan gentar.
Dalam ayat itu juga orang-orang mukmin dianjurkan agar benar-benar bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa di mana saja mereka berada, kerana dengan bekal takwa itulah segala sesuatu dapat dilaksanakan dengan baik, diberkati, diredhai oleh Allah SWT. Bila disebut taqwa, biasanya diterjemah sebagai takutkan Allah. Itu tidak benar. Taqwa bukan berarti takut. Taqwa pada Allah bukan berarti takutkan Allah. Takut kepada Allah hanyalah satu daripada sifat mahmudah yang terangkum dalam sifat taqwa tetapi ia bukan taqwa. Takut dalam bahasa Arab ialah khauf atau khasya.Taqwa berasal dari perkataan waqa yaqi-wiqoyah yang artinya memelihara. Di dalam Al Quran, sering Allah menyeru dengan kalimat "ittaqu" atau "yattaqi". Dimana ada tambahan huruf pada asal kalimah "waqa", ia membawa perubahan kepada makna. Di sini "ittaqullah" membawa maksud hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara/pembenteng/pelindung. Iaitu hendaklah menjadikan Allah itu sebagai pelindung. Menjadikan Allah itu kubu atau benteng. Bila sudah berada dalam perlindungan, kubu atau benteng Allah, perkara yang negatif dan berbahaya tidak akan masuk atau tembus. Menjadikan Allah itu pelindung dari kejahatan.
Adapun yang dinamakan kehidupan itu pasti di sulami dengan rasa resah, rindu, luka dan cemas. Bersabar dan bertakwalah, semoga kejayaan milik kita.