e-Pendidikan Islam

Subscribe:

Ads 468x60px

Rakan Facebook

Powered by Textbook Widget

Jangan Hampiri Zina

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)"
(Al-Isra, :32)
Tafsiran Ringkas :
Zina ialah persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syarak (bukan pasangan suami isteri) dan kedua-duanya orang yang mukallaf, dan persetubuhan itu tidak termasuk dalam takrif (persetubuhan yang meragukan).
Ayat di atas melarang kita untuk mendekati zina. Ia bermaksud segala hal yang merupakan jalan menuju perzinaan wajib kita jauhi apa lagi zina itu sendiri tentunya lebih wajib kita jauhi. Perlu juga kita sedari bahawa segala keterbukaan dan kebebasan dalam pergaulan antara lelaki dan wanita ini pasti menimbulkan akibat yg buruk pada masyarakat kita. Suatu keburukan akan lebih cepat merebak dibanding kebaikan.
Maksud daripada amaran Allah Ta'ala "jangan hampiri zina" ini adalah ditujukan kepada segala perkara yang mendorong kepada perlakuan zina. Seperti berdua-duan, bercakap-cakap atau berhubungan dengan cara-cara yang boleh menaikkan nafsu kejahatan, berpegangan tangan atau apa saja perkataan, perbuatan, isyarat yang boleh mencetuskan perasaan kepada perbuatan zina adalah termasuk didalam amaran ini.
Rahsia mengapa Allah s.w.t menggunakan kalimah ‘janganlah engkau mendekati zina’, bukan ‘janganlah engkau berbuat zina’, telah disampaikan Syeikh As-Sa’di dalam tafsirnya.

Kata beliau: “Larangan untuk sekadar mendekati zina lebih bermakna mendalam dari melarang perbuatannya. Sebab, ia bererti meliputi larangan terhadap seluruh pendahuluan dan pencetusnya. Orang yang berada di sekitar daerah yang terlarang, dikhuatiri terjebak di dalamnya. Terutama dalam masalah ini (zina), yang didorongnya sangat besar pada sebahagian orang.”

Imam Ahmad berkata: “Aku tidak mengetahui dosa yang lebih besar daripada dosa zina setelah (dosa) membunuh nyawa manusia.”

Bagi membendung perbuatan zina, Islam amat melarang pergaulan bebas bukan mahram . Pergaulan bebas akan mendorong lelaki dan perempuan berada dalam suasana yang mencurigakan, bersembunyi dan ini dimulakan dengan khalwat. Menghias diri dengan wangian dan bersolek turut dilarang jika ia dilakukan untuk tontonan umum. Seorang wanita amat dan hanya digalakkan agar menghias diri dan bersolek semasa berada dengan suaminya, kerana bakal membangkitkan rasa ghairah dalam keadaan yang halal.
Berhias dan kelihatan anggun menawan dalam kelompok bukan mahram, akan mejerumuskan wanita dalam pelbagai masalah. Keinginan lelaki kepada wanita seksi, memukau hiasan dirinya akan menjadikan gelora semangat tidak terkawal dan mendorong perbuatan rogol atau percubaan menggoda, dan akhirnya tergodam naluri seks pula, iaini zina.
Islam menggalakkan perkahwinan kepada yang mampu, dan berpuasa kepada yang tidak mampu, dan melarang mengadakan halangan-halangan yang boleh menyekat perkahwinan seperti meletakkan mas kahwin yang terlalu tinggi. Islam menafikan ketakutan kepada kemiskinan dan kepapaan kerana mempunyai anak-anak yang ramai.

Mengikut peruntukan hukuman syarak yang disebutkan di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith yang dikuatkuasakan dalam undang-undang Qanun Jinayah Syar’iyyah bahawa orang yang melakukan perzinaan itu apabila sabit kesalahan di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, iaitu disebat sebanyak 100 kali sebat. Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bermaksud :
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”. (Surah An- Nur ayat 2)
Seseorang yang melakukan zina Muhsan (telah berkahwin), sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan keatas mereka hukuman had (rejam) iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya hingga mati. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab I’anah Al- Thalibin juzuk 2 muka surat 146 yang bermaksud :

”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina muhsan wajib dikenakan keatas mereka had (rejam), iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya sehingga mati”.

Seseorang yang melakukan zina bukan muhsan sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan ke atas mereka hukuman sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun sebagaimana terdapat di dalam kitab Kifayatul Ahyar juzuk 2 muka surat 178 yang bermaksud :

”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina bukan muhsan wajib dikenakan keatas mereka sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun”.
Dua penegasan tentang zina yang dinyatakan dalam ayat yang dibincangkan ialah :
1. Zina adalah perbuatan yang keji.

2. Zina membuka jalan kepada pelakuan buruk yang lain.
Pelakuan Zina sememangnya suatu perbuatan yang keji yang dimurkai oleh Allah dan rasul-Nya. Masyarakat akan memandang hina akan si pelakunya. Ibu bapa akan merasa begitu hina jika anak-anak mereka mengandung tanpa nikah. Adakah kita rela ibu, adik perempuan, isteri kita berzina dengan orang lain?.

Sering terjadi pelakuan seksual terhadap anak-anak remaja dan wanita dewasa yang merupakan kesan dari nafsu birahi yg terpancing dari "mukadimmah zina" yang tidak dijauhi. Betapa banyak rumah tangga yg hancur berantakan gara-gara zina yg tidak hanya mendatangkan keburukan kepada hubungan suami isteri tetapi juga anak-anak mereka. Mangsa-mangsa zina dan perkosaan akan membawa aib seumur hidup.

Keburukannya kerana zina juga berlaku atas sifat manusia yang tidak dapat mengawal nafsu. Keserakahan nafsu inilah yang menjadikan nilai kehidupan semakin tidak selamat. Apabila dikuasa oleh nafsu, manusia sangat mudah berkonflik, berbalah, dan seterusnya berperang. Telah banyak tragedi berdarah yang berlaku kerana disebabkan oleh perbuatan zina, termasuk berbunuh-bunuhan sesama manusia.
Sa’ad bin Ubadah berkata, “Seandainya aku melihat seorang laki-laki berzina dengan isteriku, maka akan aku penggal leher laki-laki itu dengan pedang”, ucapnya.
Kesan perlakuan zina, terutamanya dalam kalangan anak gadis atau wanita paling berat menanggung bahana. Apabila didapati dirinya mengandung, dia hanya mempunyai dua pilihan sama ada meneruskan kandungan tersebut atau menggugurkannya dengan pelbagai cara, sama ada menemui dukun tradisional, doktor, cuba melakukan sesuatu termasuk membunuh diri. Bagi yang merasakan kandungan itu adalah darah dagingnya, turut menghadapi persoalan dan kebimbangan, setelah kelahirannya di manakah akan disorokkan bayi itu. Akibatnya bayi dibuang atau ditinggalkan dimerata-rata tempat. Di Malaysia, kisah pembuangan bayi telah berlaku sekian lama, tetapi akhir-akhir ini ia telah menjadi semacam satu kegilaan yang paling kejam.
Kemudian Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain dari Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar,dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan demikian itu, nescaya Dia mendapat (pembalasan) dosanya, akan dilipatgandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina, kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh;maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan.Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Furqan: 68-70)

Di sini jelaslah bahawa Allah s.w.t mengandingkan perbuatan zina dengan syirik dan membunuh nyawa manusia. Dan menjadikan balasannya ialah kekal dalam siksaan yang berlipat ganda, selama seorang hamba (pelaku) tidak menghapuskan faktor penyebab seksaan tersebut dengan taubat, beriman dan berbuat amal solih.

Sunnah Allah berlaku pada makhluk-Nya, di mana jika perzinaan merajalela, maka Allah murka kepada mereka. Jika kemurkaan Allah terus berlangsung, maka ia akan menurunkan hukuman-Nya ke bumi. Abdullah bin Mas’ud, berkata, “Tidaklah muncul perzinaan di sebuah negeri, kecuali Allah mengumumkan kehancurannya".