e-Pendidikan Islam

Subscribe:

Ads 468x60px

Rakan Facebook

Powered by Textbook Widget

Anda Sakit Tenat ?


"Dan adapun orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surah Al-Quran itu bertambah kekafiran mereka di samping kekafiran (yang sedia ada), maka mereka mati dalam keadaan kafir."
Surah At-Taubah : Ayat 125
Tafsiran Ringkas :
Ayat di atas menerangkan seseorang yang berpenyakit. Penyakit yang dimaksudkan ialah penyakit batiniyyah atau penyakit dalaman. Luaran seperti nampak sihat. Tetapi mengalami suatu penyakit yang amat berbahaya. Boleh membawa kepada sengketa sesama manusia, kemusnahan alam, iman terbatal dan malah menempah kesudahan yang buruk, iaitu mati dalam keadaan kafir.
Termasuk dalam penyakit ini ialah kekufuran, kemunafikan, ragu-ragu, riak, takabbur, ujub dan segala macam penyakit yang berkaitan seketul daging yang mengawal anggota tubuh manusia. Sihat dan baik seketul daging itu. Maka baiklah seluruh anggotanya, jika buruk seketul daging itu maka buruklah anggota tubuh yang lain. Itulah hati.Penyakit ini sungguh berbahaya, lebih buruk dari wabak selsema babi, lebih jijik dari penyakit AIDS kerana pengidapnya boleh sahaja mengorbankan jutaan nyawa dalam sekelip mata. Kehidupan yang tenteram menjadi huru hara, kemajuan menjadi terbantut, sahabat menjadi lawan dan Islam menjadi agama yang diperolok-olokkan.
Pada zahirnya seperti nampak memperjuangkan Islam, tetapi sebenarnya musuh Islam yang nyata. Merekalah orang-orang yang kufur dan munafik. Mereka yang berpura-pura. Penuh dengan kepalsuan. Penipu besar.
Penyakit ini boleh dikesan dengan beberapa tanda utama:
1. Berdusta ketika berkata-kata.
2. Mungkir ketika berjanji.
3. Khianat apabila diberi amanah. 4.
Melampaui batas apabila bergaduh.

Maka sedarlah, mereka yang berpenyakit ini ada di dalam kelompok kita, ada di antaranya begelar pemimpin, golongan ini sebenarnya menipu diri mereka sendiri, sedangkan tidak terjejas sedikitpun kekuasaan Allah. Ingatlah Allah akan membalas tipu daya mereka, kerana Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.
Setiap penyakit ada ubatnya, ubatlah penyakit hati ini dengan kembali ke jalan Allah yang lurus, berpandukan Al-Quran dan Sunnah. Bertaubat dengan penuh rendah diri dan penuh penyesalan. Merasa kerdil di hadapan Allah. Menggantikan amal-amal yang buruk dengan kebaikan. Dan selalu ingat, kita akan mati, dunia dan segala isinya akan kita tinggalkan, sama cepat atau lambat. Firaun mati. Hamman mati. Qarun mati. Hitler mati. Saddam Hussien mati. Kita juga akan mati.
Berubatlah sebelum terlambat. Sebelum penyakit semakin kronik. Carilah penawar. Al-Quran itu ubat yang paling mujarab dan terbaik. Firman Allah di dalam Al-Quran yang mulia :"Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayat petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman". Surah Yunus : Ayat 57 .